sfhzuraz Publish time 23-3-2025 01:02 AM

Pulau Pinang bakal ada sekolah Islam antarabangsa pertama

Pulau Pinang bakal ada sekolah Islam antarabangsa pertama

Oleh BERNAMA - Mac 22, 2025 @ 10:14pm



https://assets.bharian.com.my/images/articles/PG181024MO003_1742652830.jpg
(Gambar fail) Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid. - NSTP/MIKAIL ONG


BUKIT MERTAJAM: Sekolah Islam Antarabangsa Al Mashoor bakal menjadi sekolah Islam antarabangsa pertama di Pulau Pinang, yang dibangunkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan institusi pendidikan Islam di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata sekolah berkenaan ditubuhkan hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MAINPP, Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Al Hamra Integrated School.
"Kerjasama itu juga membawa manfaat besar dalam melengkapkan ekosistem pendidikan Islam di Pulau Pinang, khususnya menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada golongan Muslim profesional dan komuniti ekspatriat yang menetap di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar Jamaie Guru-Guru Takmir Pulau Pinang dan Pelancaran Sistem Pengurusan Bersepadu MAINPP, di sini, hari ini.
Menyasarkan kemasukan lebih 600 pelajar, Mohamad berkata, sekolah itu dibangunkan di atas tapak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al Mashoor di Pulau Tikus dengan peruntukan RM11.8 juta dan dijangka siap Jun depan sebelum beroperasi pada September.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri menerusi MAINPP menaja RM1 juta untuk Projek Nur Al-Yateem bawah badan bukan kerajaan (NGO), Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB) yang menumpukan kepada penjagaan dan kebajikan anak-anak yatim di Gaza.
"Projek itu bertujuan menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada 500 anak yatim di Gaza, merangkumi keperluan asas seperti makanan, pakaian, pendidikan, tempat tinggal serta sokongan kesihatan dan psikososial.
"Kos penajaan setiap anak yatim itu ialah RM250 sebulan atau RM3,000 setahun, menjadikan jumlah keseluruhan projek itu RM1.5 juta.
"MAINPP menaja RM1 juta, manakala selebihnya dibiayai melalui kutipan derma di 50 masjid di negeri ini dan pihak korporat," katanya.
Beliau berkata, projek itu diharap dapat memberi impak besar kepada kesejahteraan anak-anak yatim di Gaza yang terkesan akibat peperangan dan sekatan berpanjangan.
Selain bantuan material, katanya, projek itu juga merangkumi kelas halaqah al-Quran, sesi kaunseling dan program bimbingan akademik.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1375694/pulau-pinang-bakal-ada-sekolah-islam-antarabangsa-pertama




Pages: [1]
View full version: Pulau Pinang bakal ada sekolah Islam antarabangsa pertama


ADVERTISEMENT