Saya anak yatim, boleh tak dapat baju raya?
Saya anak yatim, boleh tak dapat baju raya?Hamzah [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0322rsyatim_1742618510.jpg
Anak yatim, Nur Ayuni Hamdan, 12, (kiri sekali) dibantu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan (dua dari kiri) mencuba baju raya baharu pada Majlis Sumbangan Baju Raya Aidilfitri Anak Yatim 2025 di Jakel Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Langkawi: "Saya anak yatim, boleh tak dapat baju raya pada program yang tuan anjurkan esok?" Demikian mesej WhatsApp daripada Nur Ayuni Hamdan, 12, kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan.
Nur Ayuni yang kematian ibu tinggal bersama neneknya berusia 65 tahun di Kampung Sungai Itau di sini, memberanikan diri menghantar mesej itu kepada Nor Saidi jam 11.45 pagi semalam.
Katanya, dia bersyukur dan terharu apabila bekas ADUN itu membalas mesej yang dihantar dan dijemput ke program Sumbangan Baju Raya Aidilfitri Anak Yatim 2025 dianjurkan Nor Saidi serta diberikan peluang memilih sendiri baju raya disukai di Jakel Langkawi di sini, hari ini.
"Saya lihat iklan program itu di TikTok, lalu terlintas untuk menghubunginya bagi mendapatkan baju raya.
"Apabila beliau balas mesej kata saya boleh hadir, seronok sangat sebab dapat pakai baju raya baharu tahun ini," katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Nur Ayuni antara 250 anak yatim mengukir wajah ceria apabila berpeluang membeli pakaian raya baharu hasil sumbangan Nor Saidi dan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Langkawi.
Nor Saidi berkata, beliau terharu kerana program amal meraikan anak yatim itu mendapat sokongan pelbagai pihak yang bertujuan memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.
"Program menyantuni anak yatim menjelang Aidilfitri dilakukan setiap tahun sejak saya dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Langkawi, diteruskan ketika saya menjadi ADUN Kuah dan program kali ini adalah edisi ke-16," katanya.
Yang turut hadir, Pengurus PERKESO Langkawi, Nor Hanani Abdul Hamid dan Pengurus Jakel Langkawi, Shahril Zaman Nasir.
Disiarkan pada: Mac 22, 2025 @ 12:42pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/03/1199641/saya-anak-yatim-boleh-tak-dapat-baju-raya
Pages:
[1]