Melayu, Cina dan India berkumpul 'rewang' siapkan ketupat, erat perpaduan
Melayu, Cina dan India berkumpul 'rewang' siapkan ketupat, erat perpaduanOleh Nur Izzati Mohamad - Mac 22, 2025 @ 12:45pm [email protected]
https://assets.bharian.com.my/images/articles/photo_6266845541497421981_y_1742618698.jpg
Hsiao Leung turut bersama masyarakat terdiri kaum Melayu, Cina dan India bergotong-royong menganyam dan membalut ketupat sempena Program ‘Jom Rewang Ketupat’ di Dataran Sungai Sembilang, Juru. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
BUKIT MERTAJAM: Program 'Jom Rewang Ketupat' di Dataran Sungai Sembilang, Juru, di sini, menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India yang bergotong-royong menganyam serta membalut ketupat bersama sehingga selesai.
Meskipun ia adalah aktiviti merumitkan bagi kaum Cina dan India, namun rata-rata mereka meluahkan keterujaan apabila dapat mempelajari menghasilkan makanan tradisi kaum Melayu ketika hari raya Aidilfitri.
Pelajar, P Prathiba, 18, berkata dia dimaklumkan oleh ibunya mengenai program berkenaan pulang ke Seberang Perai semalam, semata-mata mahu turut serta dalam aktiviti itu.
"Saya sekarang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan banyak menghabiskan masa dengan menemani nenek yang tinggal di pulau.
"Bila ibu beritahu mengenai program ini saya rasa menarik, jadi saya balik untuk menyertainya dan ternyata memang seronok walaupun sukar sebab ini kali pertama buat ketupat," katanya ketika ditemui hari ini.
Bagi wanita warga emas, Adeline Chang, 65, dia gembira melihat penyatuan tiga kaum di negara ini dalam program terbabit yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan perpaduan.
"Saya bukan tahu buat (ketupat), tetapi dengan tunjuk ajar kawan Melayu yang berkongsi ilmu, perlahan-lahan saya dapat buat walaupun biasa-biasa sahaja.
"Program seperti ini perlu diteruskan lagi dengan pelbagai lagi tradisi yang ada kerana ini pun sangat meriah apabila Melayu, Cina dan India boleh duduk sama-sama," katanya.
Dalam pada itu, suri rumah, Esah Abdullah Ali, 42, berkata dia teruja melihat kesungguhan kaum Cina dan India yang ingin mempelajari tradisi orang Melayu.
"Bila mereka semangat nak belajar, kita pun jadi suka nak mengajar dan berkongsi ilmu yang saya harap selepas ini dapat belajar juga makanan tradisi kaum mereka," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung, berkata program pertama kali dianjurkan pusat khidmatnya itu memasak 50 kilogram (kg) pulut untuk menghasilkan ketupat sebelum diedarkan percuma kepada peserta dan penduduk sekitar.
"Bagi saya acara ini unik dan sangat baik apabila berbilang kaum dapat berkongsi pengalaman dan tradisi yang mana orang Melayu dapat ajar orang Cina serta India membuat ketupat, sekali gus dapat memperkukuhkan perpaduan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1375536/melayu-cina-dan-india-berkumpul-rewang-siapkan-ketupat-erat
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0322rsrewang_1742619395.jpg
Rohani Mat, 60, (tiga dari kiri) mengajar Bhuah Soo Hum, 61, (dua dari kiri) V. Jaya, 43, (tengah) dan M Gunasegari, 43, (tiga dari kanan) ketika bergotong-royong menganyam serta membalut ketupat sempena Program ‘Jom Rewang Ketupat’ di Dataran Sungai Sembilang, Juru. FOTO DANIAL SAAD
Pages:
[1]