sfhzuraz Publish time 22-3-2025 01:04 PM

Ahli Parlimen Sungai Petani tawar diri tanding Naib Ketua AMK

Ahli Parlimen Sungai Petani tawar diri tanding Naib Ketua AMK

Oleh Noorazura Abdul Rahman - Mac 22, 2025 @ 12:[email protected]




https://assets.bharian.com.my/images/articles/taufeq_1742618618.jpg
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammed Taufiq Johari beramah mesra dengan pengunjung dan peniaga ketika mengadakan tinjauan mesra dan edaran bubur lambuk di Bazar Ramadan Taman Ria, semalam. - Foto NOORAZURA ABDUL RAHMAN



SUNGAI PETANI: Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Muhammed Taufiq Johari menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mei ini.
Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Sungai Petani, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan daripada aktivis di peringkat pusat dan negeri.
"Saya sudah berbincang panjang dengan aktivis di seluruh Malaysia dan mendapatkan cadangan mengenai hala tuju saya, walaupun terdapat ramai lagi pemimpin senior dalam AMK yang berpengalaman, saya terpanggil untuk kembali menyumbang bakti kepada sayap muda parti itu.
"Oleh itu, saya berhasrat bertanding sebagai Naib Ketua AMK kali ini. Saya melihat masih perlu berperanan di peringkat pusat kerana jawatan ini adalah amanah daripada parti," katanya ditemui selepas mengadakan walkabout dan edaran bubur lambuk di Bazar Ramadan Taman Ria di sini, petang semalam.
Dalam pemilihan PKR Mei ini, Dr Muhammed Taufiq turut menyatakan sokongan penuh kepada Muhammad Kamil Abdul Munim untuk bertanding sebagai Ketua AMK.
"Saya memberikan sokongan dan dukungan kepada saudara Kamil untuk mengepalai AMK di peringkat pusat. Beliau sudah menyatakan hasrat untuk memimpin dan saya akan pastikan AMK terus relevan dalam kalangan anak muda," jelasnya.
Dr Muhammed Taufiq yang juga Ketua AMK Kedah yakin dengan kepimpinan Kamil dan akan berusaha berada dalam barisan kepimpinan bagi memperkasa pergerakan AMK dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Sementara itu, beliau memaklumkan barisan kepimpinan cabang Sungai Petani sudah dipilih semula secara tidak rasmi tanpa sebarang pertandingan dalam pemilihan parti itu.
Katanya, PKR Sungai Petani adalah satu-satunya cabang daripada 15 cabang di Kedah yang mencapai kesepakatan tanpa pertandingan dalam pemilihan parti kali ini apabila tiada calon lain yang membuat tawaran untuk bertanding pada tarikh bantahan dan penarikan diri calon yang berakhir tengah malam tadi.
"Keputusan ini menunjukkan kesepaduan ahli parti di peringkat cabang dan membolehkan kami untuk memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16)," katanya.
Beliau berkata, fokus utama ahli dan pemimpin cabang itu ialah untuk menghadapi PRU-16 dengan strategi mengekalkan kemenangan di Parlimen Sungai Petani serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang dan Sidam, selain berusaha merampas kembali DUN Pantai Merdeka.
"Kami juga mahu memastikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua dan mahu menjadi penyumbang kerusi kepada kemenangan PKR, khususnya di Kedah," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1375532/ahli-parlimen-sungai-petani-tawar-diri-tanding-naib-ketua-amk




Pages: [1]
View full version: Ahli Parlimen Sungai Petani tawar diri tanding Naib Ketua AMK


ADVERTISEMENT