Penolong pendaftar Mahkamah Syariah Kangar nafi tipu suami isteri
Penolong pendaftar Mahkamah Syariah Kangar nafi tipu suami isteriAizat [email protected]
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/dfh33qdd23_1742529983.jpg
Mohd Azizi (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas kesalahan memperdayakan sepasang suami isteri untuk menyerahkan wang sebanyak RM3,000 sebagai dorongan mendapatkan khidmat guaman bagi permohonan pengesahan anak di Mahkamah Tinggi Syariah Kangar pada 2021. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Kangar: Penolong pendaftar Mahkamah Syariah Kangar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan memperdayakan sepasang suami isteri untuk menyerahkan wang sebanyak RM3,000 sebagai dorongan mendapatkan khidmat guaman bagi permohonan pengesahan anak di Mahkamah Tinggi Syariah Kangar pada 2021.
Tertuduh, Mohd Azizi Othman, 46, mengangguk faham namun menyatakan pengakuan tidak bersalah serta meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Azizi didakwa menipu Noor Atiqah Mohd Rohaimee@mohd Abd Halim, 26, dan Mohamad Shafiq Alias, 30, dengan cara memperdayakan mereka untuk mempercayai bahawa dirinya boleh mendapatkan khidmat guaman bagi permohonan pengesahan anak di Mahkamah Tinggi Syariah Kangar.
Perbuatan itu juga bertujuan mendorong Noor Atiqah dan Mohamad Shafiq menyerahkan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada dirinya namun tertuduh tidak melaksanakan apa yang dinyatakan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Bilik Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah Kangar pada 17 Mac 2021.
Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Undang-Undang Malaysia Akta 574) yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis, S Sujatha manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhair Ahmad Zakuan dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Ahmad Fariz dalam hujahan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh serta meminta satu tarikh yang sesuai untuk sebutan semula kes.
Permohonan Ahmad Fariz itu bagaimanapun dibantah oleh Zuhair yang memohon mahkamah agar dapat memberikan satu jaminan minimum sebanyak RM3,000 terhadap anak guamnya.
Selain itu, Zuhair turut memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan empat anak yang masih bersekolah.
Anak guamnya juga bukanlah seorang berisiko melarikan diri daripada menghadiri prosiding mahkamah kerana mempunyai alamat tetap di Kampung Simpang Empat, Kangar.
Anak guamnya juga sudah memberikan kerjasama dalam setiap siasatan SPRM sejak empat tahun lalu dengan hadir di Pejabat SPRM Perlis.
Sharifah Norazlita kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia. Selain itu, tertuduh tidak dibenarkan mengganggu atau menghampiri saksi pendakwaan sepanjang prosiding perbicaraan dijalankan dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap satu haribulan pada setiap bulan sehingga prosiding kes berkenaan selesai.
Mahkamah menetapkan tarikh 24 April hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh kemudian membayar jaminan.
Disiarkan pada: Mac 21, 2025 @ 12:06pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/03/1199290/penolong-pendaftar-mahkamah-syariah-kangar-nafi-tipu-suami-isteri
Pages:
[1]