sfhzuraz Publish time 21-3-2025 01:42 AM

Bekalan kelapa semakin stabil, harga turun 5-10 peratus - FAMA

Edited by sfhzuraz at 21-3-2025 01:47 AM

Bekalan kelapa semakin stabil, harga turun 5-10 peratus - FAMA

Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Mac 20, 2025 @ 5:42pm [email protected]




https://assets.bharian.com.my/images/articles/FAMA_AGROFIESTA_1742463760.jpg
Abdul Rashid (tiga dari kanan) dan Fahmi (tengah) pada program Agrofiesta Aidilfitri 2025, hari ini. - NSTP/AMINAH YUSOF



GEORGETOWN: Bekalan kelapa dalam pasaran tempatan semakin stabil, dengan harga menurun sedikit antara lima hingga 10 peratus di sesetengah tempat.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri, berkata ia antara lain berikutan langkah meningkatkan import kelapa dari luar negara.
Selain itu, katanya, FAMA bersama anak syarikat dengan dibantu usahawan pengimport serta pengilang mengambil langkah meningkatkan pengeluaran produk berasaskan kelapa dalam bentuk peket, serbuk, kelapa parut dan sebagainya.
Beliau berkata, pihaknya turut membawa masuk kelapa dari Sabah dan Sarawak bagi menampung permintaan dalam pasaran Semenanjung yang menunjukkan peningkatan menjelang Aidilfitri ini.
"FAMA sendiri telah meningkatkan kira-kira 30 hingga 40 peratus bekalan kelapa sedia ada meskipun dalam keadaan bekalannya agak ketat pada peringkat dunia ketika ini. Paling penting, bekalan sudah semakin stabil.
"Ini setelah kita meningkatkan import dari Indonesia walaupun sama-sama memerlukan bekalan tinggi disebabkan musim perayaan.
"Namun atas kerjasama dua negara dan pengimport yang sudah lama bekerjasama, kita masih mendapat bekalan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Agrofiesta Aidilfitri 2025 yang dirasmikan oleh EXCO Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Rashid memaklumkan, FAMA buat julung kalinya akan menawarkan santan segar dengan potongan harga istimewa melalui program jualan Pasar Tani Khas Pra-Aidilfitri membabitkan 42 lokasi di seluruh negara, mulai 29 Mac ini, untuk meringankan beban pengguna.
"Kita mengaku harga (santan) ketika ini agak tinggi sikit dan memang ada gangguan bekalan (kelapa) bukan saja di Malaysia tetapi juga peringkat dunia. Namun, keadaan sudah semakin baik sekarang.
"Justeru, kita mahu memberi sedikit kelegaan kepada pengguna dengan menjual santan pada potongan harga istimewa, dan maklumat lanjut kita akan umumkan kemudian," katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, seramai 40 usahawan menyertai Agrofiesta Aidilfitri 2025 di pusat beli-belah 1st Avenue, di sini, dan Sunway Carnival di Seberang Jaya membabitkan industri makanan, kraftangan, kosmetik serta pakaian dengan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 juta.
Beliau berkata, pihaknya optimis mencapai sasaran itu berikutan nilai jualan tunai serta dalam talian direkodkan setakat semalam telah mencecah RM700,000 dan dijangka melepasi RM1 juta menjelang ketibaan Aidilfitri.
"Penganjuran program ini memasuki tahun kesembilan bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan pendapatan.
"Kita tidak mengenakan sewa tapak, cuma pada awalnya kita meminta bayaran komitmen sebanyak RM350 yang akan dipulangkan kembali selepas tamat program," katanya.
Pada majlis itu, FAMA turut menyerahkan Geran Agrobazaar K-Shoppe serta Bantuan Pembaikan Imej dan Pembungkusan Produk kepada 13 usahawan terpilih membabitkan penyaluran dana sebanyak RM95,000.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/03/1374879/bekalan-kelapa-semakin-stabil-harga-turun-5-10-peratus-fama




Pages: [1]
View full version: Bekalan kelapa semakin stabil, harga turun 5-10 peratus - FAMA


ADVERTISEMENT