tatod Publish time 17-3-2025 06:30 PM

Usahawan aktif mendaki


"SAYA hanya terfikir jika berlaku sesuatu yang buruk, mungkin tidak dapat memeluk anak lagi kerana taufan di atas gunung yang begitu kuat mungkin boleh menyebabkan saya berada di dalam gaung," kata wanita berusia 54 tahun ini kepada penulis.

Bingkisan kisah cabaran anak kelahiran Kuala Lumpur ini ketika mencipta rekod mendaki sembilan kali ke Gunung Kinabalu di Sabah dalam tempoh 22 hari itu sebenarnya membuktikan bahawa jantina dan usia bukan penghalang untuk merealisasikan sebuah impian.

Kartina Abdul Ghani memulakan pendakian ke gunung itu pada 15 Oktober 2024 dan menamatkan sembilan kali pendakian ke puncak dalam tempoh 22 hari kemudian. Sekali gus, mencipta rekod di dalam Malaysia Book Of Records sebagai pendakian paling kerap dalam satu ekspedisi.

Sebenarnya ibu kepada lima cahaya mata itu membuat persiapan rapi bagi mencipta rekod itu, sejak 2019 dengan menguji kemampuan diri untuk naik dan turun ke gunung berketinggian 4,095 meter itu selama tiga kali pada Januari 2019 dalam satu ekspedisi. Kemudian, lima kali pendakian dalam satu ekspedisi pada April tahun yang sama.

Semangat usahawan di dalam bidang latihan teknologi maklumat itu bertitik tolak pada 2017. Ketika itu, beratnya mencecah 90 kilogram (kg) dan rakannya mengajak untuk melakukan aktiviti kecergasan yang boleh menurunkan berat badan dengan aktiviti mendaki.

Katanya, ketika itu, rakannya mengajak untuk mendaki ke Everest Base Camp (EBC) di Nepal. Namun, dia merasakan alang-alang sudah ke kem induk gunung tertinggi dunia itu, lebih baik merancang terus ke puncak.


"Bertitik tolak daripada impian itu, saya mula berlatih dan meletakkan sasaran untuk mendaki ke Gunung Everest pada pada 2024. Latihan fizikal saya lakukan dari masa ke masa. Namun, terdapat beberapa halangan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan latihan ke beberapa gunung tergendala dan misi itu ditunda pada 2026.

"Jadi, saya menjadikan latihan asas untuk menggilap kemampuan fizikal terutama dari segi daya tahan diri dengan berlatih ke Gunung Kinabalu terlebih dahulu. Maka, saya mencipta rekod mendaki sembilan kali dalam satu ekspedisi dalam tempoh 22 hari pada tahun lalu," katanya.

Katanya, dalam pada tempoh 22 hari untuk menamatkan sembilan kali pendaki ke puncak bukan sesuatu yang mudah dalam tempoh satu ekspedisi kerana ia cukup menguji kemampuan fizikal dan mental.

"Dua kejadian yang saya tidak akan lupakan iaitu pendakian kali ketiga, cuaca buruk berlaku di kilometer lapan pendakian. Awan gelap sudah menjadi 'atap' pendakian. Kemudian angin kuat mula membadai saya dan malim.

"Ketika kejadian itu berlaku saya mula terdetik mengenai tidak akan dapat memeluk lima anak saya di rumah lagi, jika saya terjatuh dipukul angin. Namun, saya kuatkan semangat dan berlindung di sebalik batu. Syukur, saya selamat tiba ke puncak dan kembali ke pintu pendakian di Timpohon," katanya.


Ceritanya lagi, cabaran kedua yang tidak dapat dilupakan adalah ketika perjalanan turun selepas kali keenam ke puncak. Ketika itu, lututnya sudah sakit. Namun, dia tetap meneruskan perjalanan turun ke pintu pendakian.

"Ketika sakit itu, saya sudah maklumkan terlebih awal kepada kru dan rakan-rakan yang menunggu di pintu permulaan pendakian, jika saya mengalami kesakitan jangan katakan kepada saya untuk berhenti dan pulang. Saya hanya perlukan semangat dan kata-kata positif. Bukan sesuatu yang membunuh semangat," katanya.

Kartina berkata, walaupun dia merasa syukur untuk melengkapkan sembilan pendakian ke puncak dalam satu ekspedisi itu tetapi ia masih belum melengkapkan impian utamanya iaitu ke Gunung Everest pada musim pendakian gunung itu pada 2026.

"Saya boleh katakan, pencapaian itu adalah separuh daripada latihan saya untuk menguji daya tahan fizikal dan mental terutamanya. Perkara ini penting kerana untuk mendaki Gunung Everest persediaan kemampuan mental adalah paling penting.

"Cabaran yang berlaku ketika di Gunung Kinabalu itu saya jadikan sebagai latihan kekuatan mental sekiranya berlaku kejadian yang sukar diramal seperti perubahan cuaca," katanya.


Katanya, impian yang ingin direalisasikan itu sebenarnya untuk membuktikan aktiviti pendakian ekstrim bukan menjadi batu sempadan kepada jantina dan usia.

"Perkara paling penting adalah tekad dan usaha yang perlu dilakukan seiring untuk mencapai impian," katanya mengakhiri perbualan.


Sumber: Harian Metro

Pages: [1]
View full version: Usahawan aktif mendaki


ADVERTISEMENT