Raline Publish time 13-2-2025 06:01 PM

Dikejar ramai lelaki kaya, wanita tolak dan pilih yang biasa

Topik dan perdebatan mengenai pencarian calon suami yang berduit atau mampu menjadi provider (memenuhi tuntutan nafkah) kini popular di media sosial.

Melihat isu ini hangat diperkatakan khususnya dalam kalangan wanita, ibu dengan dua anak ini terpanggil untuk berkongsi pengalaman dirinya sendiri.

Berkongsi secara terbuka, katanya, seperti wanita lain dia juga tidak terkecuali mahu bertemu jodoh dengan lelaki memiliki segala-galanya termasuk kewangan kukuh.



“Sejujurnya, saya juga sama. Saya mula bekerja dalam dunia perbankan. Saya ada kad kredit, imbuhan yang baik, bonus, sebut saja.

“Rancangan saya adalah untuk mendapatkan lelaki berpendapatan lebih daripada saya supaya dia boleh menyediakan keperluan saya. Tetapi kehidupan tidak semudah itu,” tulisnya.

Wanita ini turut memberitahu salah satu tujuan dia berkongsi pandangan kerana mahu wanita lain sedar tentang sekufu dalam mencari pasangan.

“Saya bertemu (tidak bercinta) ramai lelaki sebelum saya berkahwin. Berasal dari keluarga yang berpecah, ayah saya meninggalkan saya pada usia lima tahun.

“Saya hidup dengan ibu sepanjang usia saya. Jadi anda boleh bayangkan betapa hancurnya saya. Tapi Allah Maha Adil. Saya mempunyai keluarga kecil yang cantik sekarang,” ujarnya lanjut.

Wanita ini memberitahu, 10 tahun lalu dia bertemu dengan pelbagai kategori lelaki kaya termasuk suami orang, rakan sekerja dan kenalan serta rakan yang berminat dengannya.

Namun, sebagai individu yang mendambakan cinta sejak kecil, dia memilih cinta daripada wang.

“Saya boleh dapatkan wang sendiri. Saya pilih sahabat saya menjadi suami. Dia (suami) lelaki biasa bekerja dalam dunia korporat.

“Gaji lumayan. Berasal dari keluarga yang baik, walaupun bapa suami berpangkat dalam sektor kerajaan, keluarganya agak merendah diri,” jelasnya yang kini memilih untuk menjadi suri rumah.

Bersyukur dengan pilihannya, wanita ini kini gembira dengan kehidupannya walaupun tidak mewah.

“Keluarga saya tak kaya tapi cukup sekadar selesa. Suami saya adalah lelaki yang terbaik.

“Hidup pasti ada pasang surut, tetapi saya dan suami urus dengan baik. Intinya, anda perlu memilih yang mana satu keutamaan anda. Saya memilih kegembiraan walau apa pun.

Setiap pasangan berkahwin mengimpikan keharmonian dalam rumah tangga. - Gambar hiasan

Setiap pasangan berkahwin mengimpikan keharmonian dalam rumah tangga. -Gambar hiasan

“FYI (for your information) selepas 10 tahun begitu banyak perkara berlaku, lelaki yang pernah kaya pun dah tak kaya dah. Bayangkan saya memilih mereka daripada cinta,” luahnya.

Perkongsian wanita ini mendapat pelbagai reaksi warganet.

“Alhamdulillah. Yang penting rajin. Semoga Allah merahmati kamu dan pasangan.

“Saya pula mengimpikan suami yang tidak lokek untuk berbagi dan kaya dengan kasih sayang.

“Saya tak cari yang kaya ataupun kacak, tapi lebih pada yang berpendidikan.

“Secara peribadi, sebagai seorang lelaki saya menghargai perkongsian ini. Bukan senang mencari lelaki kaya yang mencintai anda sepenuh hati," demikian antara komen netizen.

Sumber: mStar

Pages: [1]
View full version: Dikejar ramai lelaki kaya, wanita tolak dan pilih yang biasa


ADVERTISEMENT