DidiAndFren Publish time 4-5-2024 04:41 PM

Anwar dihadiahkan potret misi Ops Jerebu 1997

https://assets.bharian.com.my/images/articles/pmbombas_1714790367.jpg Perdan Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 di Tambun, Ipoh, hari ini. - NSTP/L MANIMARAN





IPOH: Misi memadam kebakaran rentas sempadan, Ops Jerebu selama 25 hari yang membabitkan 1,200 anggota bomba pada 27 tahun lampau, diabadikan dalam bentuk potret dihadiahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, individu penting dalam menjayakan tugasan itu pada 1997.

Potret berkenaan dihadiahkan kepada Perdana Menteri yang hadir merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 (SHAB 2024) Peringkat Kebangsaan di Tambun, di sini hari ini.

Pada 1997, ketika Anwar menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri, jerebu teruk melanda rantau ini selama tiga bulan yang turut menyebabkan Malaysia menanggung kerugian dilaporkan sekitar RM901 juta, terutama dalam sektor pelancongan.

Beberapa punca jerebu yang dikenal pasti ialah pembakaran terbuka berkaitan pertanian dari negara jiran, pembakaran hutan serta pembebasan asap oleh kilang dan kenderaan.

Terdahulu, ketibaan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun pada jam 9 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau kemudian menerima hormat perdana dan diberi penghormatan memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan Bomba yang terdiri daripada dua pegawai dan 99 anggota lain-lain pangkat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.

Hari Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun dengan tema sambutan kali ini 'Bomba Tonggak Penyelamatan Negara', simbolik komitmen dan dedikasi JBPM untuk sentiasa menjadi benteng hadapan dan tiang utama negara bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan seluruh rakyat.

Sambutan turut dimeriahkan dengan deklamasi sajak bertajuk 'Wira Merah Setia Menjunjung Amanah' yang berkisarkan perjuangan anggota bomba yang tidak pernah berhenti menabur bakti. Ia dipersembahkan oleh pegawai bomba dari Sabah, Mohd Fauzi Jamikah.

Majlis diteruskan dengan persembahan kebombaan oleh Pasukan Khas JBPM, termasuk demonstrasi memadam kebakaran menggunakan helikopter iaitu secara teknik bom air serta terjunan payung terjun pada ketinggian 4,000 kaki oleh lima penerjun 'Smoke Jumper JBPM'.

Kumpulan penerjuan kemudian menyerahkan kapak simbolik kepada Anwar yang meletakkannya pada slot khas bagi merasmikan sambutan itu.

SHAB 2024 turut mencatat sejarah tersendiri buat JBPM apabila bekerjasama dengan Pos Malaysia melancarkan keluaran khas setem memaparkan aset udara, darat dan air milik jabatan itu.

Sambutan turut diisi Perarakan Berjalan Lalu oleh 29 kontinjen dan 57 jentera yang membabitkan 1,400 anggota, bacaan Yasin dan tahlil di Masjid An-Nur, Batu 8, Tambun; Mess Nite di Weil Hotel, Ipoh dan Larian Bomba 2024 pada 18 Mei nanti di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir, Melaka.
Pages: [1]
View full version: Anwar dihadiahkan potret misi Ops Jerebu 1997


ADVERTISEMENT