mattzzx Publish time 30-4-2024 05:48 PM

Kastam patah 1,856 kes seludup dan elak cukai, rampasan RM350.18 juta

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/04/WhatsApp-Image-2024-04-30-at-4.50.34-PM-1.jpeg
Ribuan bercakap ketika sidang akhbar berkenaan kejayaan JKDM dalam membanteras aktiviti penyeludupan bagi suku pertama tahun 2024 di Ibu Pejabat JKDM, hari ini. -Foto FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan 1,856 kes penyeludupan dan cubaan menyeleweng duti kastam dalam tempoh Januari sehingga Mac lalu membabitkan rampasan berjumlah RM350.18 juta.

Ia rekod pencapaian memberangsangkan dengan peningkatan 181.72 peratus kes berbanding RM124.3 juta nilai rampasan bagi tempoh sama tahun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Ribuan Abdullah berkata, lima komoditi mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu kenderaan dengan 221 kes (385 unit kenderaan), rokok (711 kes), dadah (139 kes), minuman keras (241 kes), tekstil (14 kes) dan lain-lain komoditi (530 kes).

Beliau berkata, bagi tempoh sama juga, pihaknya juga berjaya mematahkan 22 aktiviti penyeludupan barang bersubsidi termasuk minyak masak, petrol dan diesel dengan nilai rampasan sebanyak RM323,365.

“Lima negeri mencatat perolehan kes tertinggi bagi suku pertama tahun iaitu Sabah dengan 330 kes, Kelantan (266 kes), Sarawak (231 kes), Johor (191 kes) dan Selangor (151 kes),” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ribuan berkata, pihaknya sentiasa berusaha memastikan aktiviti penyeludupan dibendung dengan penggunaan teknologi terkini termasuk dilengkapi kecerdasan buatan (AI) di pintu masuk dan keluar negara.

Menurutnya, pihaknya dijangka menempatkan 40 unit mesin pengimbas AI di lapangan terbang dan pintu masuk serta keluar negara terutama di KLIA, Kedah, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak selewat-lewatnya Mei ini.

“Untuk makluman, tujuh unit mesin pengimbas AI sudah ditempatkan secara berperingkat di KLIA sejak awal tahun ini dan ia dilihat banyak membantu usaha membanteras penyeludupan dadah di pintu masuk dan keluar negara.

“Setakat 29 April lalu, JKDM berjaya membanteras penyeludupan dadah sebanyak 585.72 kilogram melalui imbasan imej mesin pengimbas malah, mesin itu juga dapat menganalisa imej dengan lebih jelas,” katanya.

Katanya, JKDM juga dalam perancangan membuat perolehan tujuh mesin pengimbas kargo yang dilengkapi sistem ‘drive through multi-view dual energy’ berteknologi tinggi bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah dengan lebih berkesan khususnya di Pelabuhan Klang.

Sementara itu, Ribuan berkata, JKDM juga akan dibekalkan 20 ekor Anjing Pengesan Dadah (APD) pada Jun depan bagi keperluan Cawangan Narkotik selain 28 unit kenderaan pacuan empat roda bagi kegunaan anggota penguatkuasaan. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04/30/kastam-patah-1856-kes-seludup-dan-elak-cukai-rampasan-rm350-18-juta/
Pages: [1]
View full version: Kastam patah 1,856 kes seludup dan elak cukai, rampasan RM350.18 juta


ADVERTISEMENT