mattzzx Publish time 30-4-2024 03:50 PM

Tiga rakan dijel, sebat samun pemandu teksi 72 tahun

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/04/WhatsApp-Image-2024-04-30-at-1.49.23-PM.jpeg
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan sebat selepas mengaku bersalah melakukan samun, dua minggu lalu. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Tiga rakan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan samun berkumpulan terhadap seorang pemandu teksi warga emas, dua minggu lalu.

Hakim Azaraorni Abd. Rahman membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Mohd. Syukri Mohd. Isa, 39; Muhammad Hafizi Azmi, 34, dan V. Rakesh, 30, sejurus pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan pindaan, kesemua tertuduh telah melakukan samun berkumpulan terhadap Ibrahim Rashid, 72, sehingga menyebabkan kerugian RM400 dan mencederakan mangsa dengan kerusi plastik.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang di kawasan kebun kelapa sawit Jalan Parit Keliling menghala Rim dalam daerah Jasin pada 17 April 2024.

Sabit kesalahan ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh telah menyewa sebuah teksi yang dipandu mangsa untuk ke Jasin dan setibanya di lokasi kejadian, salah seorang tertuduh mengarahkan mangsa memberhentikan kenderaan dalam kebun kelapa sawit sebelum mencekik leher serta memukul mangsa hingga tidak sedarkan diri.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, lebam mata kiri, bibir dan kaki sebelah kiri bahagian paha bengkak manakala barang-barang seperti dompet mengandungi kad bank, kad pengenalan, lesen, wang tunai, telefon bimbit termasuk teksi dilarikan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan hukuman penjara dan sebat dengan mengambil kira jumlah kerugian serta kecederaan mangsa.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman minimum bermula dari tarikh ditangkap dengan alasan mempunyai tanggungan anak dan ibu bapa.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bemula dari tarikh ditangkap pada 17 April 2024 dan dua sebatan terhadap kesemua tertuduh. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04/30/tiga-rakan-dijel-sebat-samun-pemandu-teksi-72-tahun/
Pages: [1]
View full version: Tiga rakan dijel, sebat samun pemandu teksi 72 tahun


ADVERTISEMENT