mattzzx Publish time 30-4-2024 03:38 PM

Hukum sebat di tempat awam: Pandangan agamawan, ulama, mufti perlu dirujuk

https://assets.bharian.com.my/images/articles/rotan1_1536120881_1714460983.jpg
Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Golongan agamawan melihat pelaksanaan hukuman sebat bagi kesalahan syariah di tempat awam perlu diperhalusi terlebih dahulu dengan turut mengambil kira pandangan ulama dan institusi mufti.

Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata walaupun hukuman itu selari dengan syarak, pelaksanaannya masih perlu dikaji secara menyeluruh dengan pandangan ahli agama wajar dijadikan asas penting sebelum ia dikuatkuasakan di mana-mana negeri.

"Memang dari segi syarak, hukuman sebat ini (ada disebut) dibuat di tempat ada khalayak, namun (tak semestinya) di tempat awam... di dalam penjara disaksikan beberapa orang sudah memadai.

"Terpulanglah kepada pihak yang nak melaksanakannya. Saya rasa ia perlu dikaji misalnya dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).



"Selepas itu barulah buat keputusan... itu lebih baik," katanya kepada BH.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata kerajaan negeri Terengganu sedang pertimbangkan cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi kesalahan syariah di khalayak atau tempat awam.

Katanya, terdapat beberapa prosedur tertentu perlu diteliti sebelum pelaksanaannya.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, walaupun kuasa menggubal enakmen syariah tertakluk kepada kerajaan negeri, pandangan agamawan perlu didahulukan bagi keputusan yang berkait dengan hukum syarak.

"Selama ini, ada (keputusan) yang dibuat meninggalkan pandangan mufti. Jadi sebaiknya apa sahaja keputusan rujuk kepada mufti apa kata mereka, kemudian terpulang (kepada kerajaan negeri sama ada) untuk laksanakannya .

"Keputusan dibuat itu (semalam) bukan keputusan agama, itu keputusan (di peringkat kerajaan negeri). Dapatkan pandangan ulama, itu lebih baik.

"Jika nak laksana sekalipun, biarlah hukum itu lengkap dulu barulah dilaksanakan. Misalnya, hukuman hudud untuk kesalahan minum arak, sebat sebanyak 40 kali.

"Kalau setakat enam kali (seperti dilaksana sekarang), tak sempurna juga. Bila tak sempurna sebegitu, kita buat sebatan di penjara pun memadai. Kalau buat di khalayak ramai pun, sebatan itu tak sempurna, tidak sepenuhnya mengikut syarak," katanya.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang pula berpandangan pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai perlu diperhalusi sebaiknya.

"Ia perlu diperhalusi secara mendalam mengambil pandangan pelbagai pihak. Sebatan di tempat tertentu yang tertutup dengan disiarkan kepada umum juga mungkin boleh mencakupi kehendak 'taifah minal mukminin' sebagaimana digariskan hukum syarak.

"Perlu lihat manfaat dan mudarat, mana yang lebih besar kepada masyarakat.

"Jika mudarat yang lebih besar, contohnya akan mengundang hinaan dan kejian kepada syariat, maka ia sepatutnya tidak dilaksanakan," katanya.

Tambahnya, berdasarkan peruntukan undang-undang, hakim berhak menentukan tempat pelaksanaan hukuman sebat, termasuk dibuat di khalayak ramai.

Bagaimanapun, jelasnya, antara isu lain yang turut perlu dilihat semula adalah amalan pelaksanaan sebat di khalayak ramai yang akan memerlukan pembabitan lebih banyak agensi, selain pihak penjara.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1241029/hukum-sebat-di-tempat-awam-pandangan-agamawan-ulama-mufti-perlu
Pages: [1]
View full version: Hukum sebat di tempat awam: Pandangan agamawan, ulama, mufti perlu dirujuk


ADVERTISEMENT