mattzzx Publish time 29-4-2024 02:17 PM

Kami antara penghibur hebat liga - Ten Hag

https://assets.bharian.com.my/images/articles/tenahgwou24_1714364523.jpg
Pengendali Manchester United, Erik ten Hag percaya pasukannya antara penghibur paling hebat di Liga Perdana Inggeris. - Foto AGENSI

MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Erik ten Hag percaya pasukannya antara penghibur paling hebat di Liga Perdana Inggeris, walaupun sedang bergelut memenangi perlawanan.

United seri 1-1 dengan pasukan di tangga kedua tercorot, Burnley pada Sabtu selepas penjaga gol Andre Onana menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Zeki Amdouni untuk gol penyamaan.

Skuad kendalian Ten Hag hanya mampu merakam satu kemenangan dalam tempoh 90 minit permainan sejak pertengahan Mac dan mengumpul tujuh mata daripada enam perlawanan terakhir liga.

Secara keseluruhan, 38 gol dijaringkan dalam lapan penampilan terakhir United.


"Kami salah satu daripada pasukan paling dinamik dan menghiburkan di dalam liga ketika ini.

"Kami mencipta banyak peluang dengan bermain bola sepak yang menarik," kata Ten Hag.

United kekal di tangga keenam, satu mata di depan Newcastle dalam perebutan tempat ke Liga Europa musim depan.

Ten Hag mempertahankan keputusannya untuk mengeluarkan Rasmus Hojlund dan Kobbie Mainoo selepas 65 minit, tindakan yang dicemuh penyokong tuan rumah, dan memberi amaran kepada peminat untuk lebih bersabar selepas Red Devils merekrut pemain-pemain lebih muda pada musim panas lalu.

"Ia perlawanan yang sengit, yang ketiga berturut-turut buat kami dalam tempoh singkat, dan Burnley mempunyai tempoh rehat lebih lama, jadi memang logik untuk membawa masuk pemain-pemain yang sangat muda dan pada tahun pertama mereka di Liga Perdana Inggeris - dan saya masih belum menyentuh berkenaan risiko kecederaan.

"Rasmus Hojlund dan Kobbie Mainoo cedera, jadi saya terpaksa melindungi mereka. Saya faham peminat mahu melihat kemahiran pemain-pemain itu tetapi saya perlu menjalankan tugas saya. Ia keputusan tepat," katanya.

Ten Hag turut membandingkan skuad mudanya dengan skuad 2004-05 yang menampilkan barisan pemain muda seperti Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo.

Skuad Alex Ferguson yang dalam fasa pembangunan itu menamatkan saingan liga di tempat ketiga, muncul naib juara Piala FA dan mara ke separuh akhir Piala Liga.

"Mereka lupa, 2004-04, mereka juga tidak bermain dengan hebat. Masih dalam proses pembangunan dan ia mengambil masa, malah pemain-pemain yang ada dalam pasukan ketika itu juga bergelut. Anda memerlukan masa untuk maju," tambah pengendali dari Belanda itu. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/04/1240525/kami-antara-penghibur-hebat-liga-ten-hag
Pages: [1]
View full version: Kami antara penghibur hebat liga - Ten Hag


ADVERTISEMENT