sfhzuraz Publish time 25-4-2024 05:35 PM

Tunggakan gaji bekas kakitangan Kedah Agro dibayar berperingkat

Tunggakan gaji bekas kakitangan Kedah Agro dibayar berperingkat

OlehROSHILA MURNI ROSLI

25 April 2024 05:15pm







https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/04/25/2627205.jpg
Mohamad Redzwan (dua dari kiri) menyemak dokumen yang dibawa untuk perbincangan bersama MBI di Pejabat JTK Kedah di Alor Setar pada Khamis.



ALOR SETAR - Tunggakan gaji seramai 20 bekas kakitangan Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) berjumlah RM337,000 akan dibayar secara berperingkat selama 30 bulan.
Perkara itu dimaklumkan oleh wakil bekas kakitangan itu, Mohamad Redzwan Ramlee yang menjelaskan bayaran itu adalah bagi tempoh sembilan bulan gaji yang tertunggak.


Katanya, persetujuan itu dicapai pihaknya dalam rundingan bersama wakil Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kedah di sini pada Khamis.
"Berdasarkan perbincangan terbabit, tunggakan gaji selama lima bulan akan dibayar secara penuh kepada pekerja mulai bulan hadapan dan baki empat bulan lagi dibayar selama dua tahun setengah secara berperingkat.


"Kami berterima kasih kepada wakil MBI kerana datang berbincang dan mereka bersetuju tunggakan gaji kami akan dibayar dalam tempoh dua tahun setengah secara ansuran bulanan," katanya ketika ditemui di Pejabat JTK Kedah di sini pada Khamis.
Jelasnya, mereka akur dengan penyelesaian yang dicapai dan menganggap ia sebagai penyelesaian terbaik yang dapat antara kedua-dua pihak berkaitan isu terbabit.
"Ia juga selaras dengan saranan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang mahu masalah tunggakan gaji berkenaan diselesaikan secara berhemah.
"Kami juga gembira apabila MBI setuju menyelesaikan bayaran faedah notis penamatan perkhidmatan kepada 20 kakitangan KAHB yang dibuat sebelum sambutan Aidilfitri lalu," katanya.



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Zafir Annuar Ghazali ketika dihubungi mengesahkan pihaknya berjaya mencapai persetujuan bersama bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji 20 bekas kakitangan KAHB.
Katanya, pihaknya bersetuju membayar tunggakan gaji berkenaan mengikut yang diputuskan dalam perbincangan berkenaan.
Mac lalu, kumpulan kakitangan KAHB membuat aduan di Pejabat JTK Kedah selepas mendakwa tidak dibayar gaji selama sembilan bulan menyebabkan ada antara mereka mengalami tekanan termasuk berhadapan keruntuhan rumah tangga.
Kakitangan terbabit mendakwa pernah berusaha bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Pengerusi MBI Kedah bagi meminta bantuannya menyelesaikan masalah berkenaan, namun beliau menolak menyelamatkan KAHB menggunakan dana kerajaan negeri.
Awal bulan lalu, Muhammad Sanusi kemudian mengumumkan penamatan operasi KAHB selepas mendapati GLC itu tidak lagi berdaya maju serta menanggung liabiliti terlalu besar.
Tunggakan gaji bekas kakitangan Kedah Agro dibayar berperingkat - Sinar Harian

Pages: [1]
View full version: Tunggakan gaji bekas kakitangan Kedah Agro dibayar berperingkat


ADVERTISEMENT