mattzzx Publish time 24-4-2024 05:50 PM

Kedah mampu rancakkan Liga Super

https://assets.bharian.com.my/images/articles/KDA_denda_1713951142.jpg
KDA FC berjaya menyelesaikan masalah dihadapi mereka dan diberikan lesen bagi terus beraksi dalam Liga Super musim ini.

KUALA LUMPUR: Kehadiran Kedah Darul Aman (KDA) FC yang akan terus beraksi dalam Liga Super musim 2024/5 sudah pasti merancakkan lagi saingan domestik apatah lagi pasukan itu memiliki reputasi tersendiri dalam kancah bola sepak tempatan.

Justeru, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melihat ini satu perkembangan positif apabila skuad 'Kenari' benar-benar komited untuk memastikan pasukan itu tidak 'hilang' dari radar divisyen utama dengan menyelesaikan tunggakan dihadapi mereka sebelum ini.

"MFL gembira apabila KDA FC berjaya menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka dan dengan selesainya perkara ini, kita boleh fokus untuk memulakan saingan liga bagi musim ini.

"Kita akan memperkenalkan 'Financial Fair Play' (FFP) pada musim ini dan kami harap dengan langkah pemantauan yang akan dilakukan, kita dapat mengenalpasti masalah dengan lebih awal dan memikirkan jalan penyelesaian terbaik," kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.


Terdahulu, skuad bimbingan Nafuzi Zain boleh menarik nafas lega apabila First Instance Body (FIB) mengesahkan pasukan itu berjaya menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tahun 2023 sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada jam 5 petang 20 April 2024.

Perkembangan ini sekali gus menyaksikan saingan Liga Super bagi musim 2024/25 akan tetap menampilkan 13 pasukan dan jadual perlawanan yang sudah disusun tidak perlu dirombak sekali lagi.

Bagaimanapun, Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menjelaskan pasukan itu akan tetap memulakan saingan Liga Super musim ini dengan negatif tiga mata selepas hukuman pemotongan tiga mata dan denda RM50,000 tetap dikekalkan.

Sebelum ini, lesen kebangsaan KDA FC berpotensi untuk ditarik jika gagal melunaskan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tahun 2023 sehingga tarikh akhir diberikan FIB pada 20 April lalu.

Sekiranya lesen skuad 'Kenari' ditarik balik, ini sekali gus menyaksikan mereka tidak dapat beraksi dalam Liga Super musim ini dan meninggalkan hanya 12 pasukan bertanding.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/04/1238714/kedah-mampu-rancakkan-liga-super
Pages: [1]
View full version: Kedah mampu rancakkan Liga Super


ADVERTISEMENT