Vellfire Publish time 23-4-2024 10:10 PM

Sabah pertimbang laksana cukai jualan negeri bagi emas

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240423/kks-ub230424-san-dun3-p1.jpg

JULITA
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk mengenakan cukai jualan negeri ke atas hasil jualan emas yang dibawa keluar dari negeri ini.
Pembantu Menteri Kewangan Datuk Julita Mojungki berkata, setakat ini, operasi perlombongan emas di Sabah hanya dijalankan di Bukit Mantri Tawau yang berkeluasan 317.7 hektar.
Katanya, sejak mula beroperasi pada 2018, lombong emas berkenaan menghasilkan jualan jongkong emas bernilai RM585 juta.
Menurutnya, daripada jumlah itu, kerajaan negeri menerima lima peratus royalti dari hasil jualan emas mentah yang berjumlah kira-kira RM23.97 juta.
"Setakat ini kerajaan negeri belum mengenakan cukai jualan negeri dan Jabatan Kastam diRaja Malaysia (JKDM) juga tidak mengenakan duti eksport ke atas emas yang dibawa keluar dari Sabah ke Semenanjung kerana ia hanya melibatkan penjualan secara domestik.
"Kerajaan negeri akan mengkaji semula kontrak perjanjian dan ordinan, akta atau enakmen berkaitan untuk meningkatkan kadar royalti emas daripada 5 peratus kepada 10 peratus ke atas emas mentah yang dihasilkan daripada aktiviti perlombongan terbabit.
"Sabah adalah negeri bertuah dan berpotensi tinggi bagi membangunkan industri emas berdasarkan hasil kajian kerja carigali (penerokaan) dan pengeluaran pajakan lombong (Mining Lease) bagi operasi melombong," katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri PAnglima Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) sama ada Sabah mengenakan cukai jualan dan cukai eksport bagi emas yang diambil keluar dari negeri ini.
Julita berkata, bagi memastikan kutipan hasil yang optimum, kerajaan negeri dengan kolaborasi Pejabat Hasil Bumi (SUHB), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan JKDM akan menambah baik proses perlombongan dan peleburan emas menjadi lebih telus dan efektif.
"Ketua Menteri turut melantik Pengarah JTU sebagai Ketua Merinyu Galian selaras dengan Seksyen 2 Ordinan Perlombongan Sabah 1960 bermula pada 1 Januari 2023 untuk mentadbir Sistem Pentadbiran Mineral di Sabah dan mengawal selia operasi perlombongan.
"Jawatankuasa Pemandu Bersepadu turut ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti pemantauan operasi perlombongan emas. Selain itu, JTU, SUHB dengan kerjasama SMM akan mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan berkaitan aktiviti perlombongan mineral," jelasnya.
"Sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk menjaga kelestarian alam semula jadi, peraturan perlombongan juga perlu diperketatkan di samping meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan alam semula jadi, kewaspadaan risiko kecurian dan rampasan emas kepada pemain industri emas tempatan, pihak swasta dan masyarakat setempat," jelasnya.
Menurutnya, industri emas ini masih lagi baharu dan kerajaan negeri sentiasa prihatin serta mengambil berat isu-isu yang timbul terutamanya yang berkaitan dengan penjanaan hasil kepada negeri.
Menurutnya, kerajaan akan sentiasa menambah baik proses perlombongan mineral yang bukan sahaja emas di samping memperketatkan peraturan sedia ada bagi memastikan kerajaan negeri dapat mengutip hasil yang maksimum.


https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/23/sabah-pertimbang-laksana-cukai-jualan-negeri-bagi-emas
Pages: [1]
View full version: Sabah pertimbang laksana cukai jualan negeri bagi emas


ADVERTISEMENT