Vellfire Publish time 23-4-2024 10:06 PM

Penggunaan sastera perlu diterapkan sejak kanak-kanak

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240423/img2026.jpeg

FESTIVAL: Juliah bergambar bersama pada Festival Sastera Kanak-Kanak dan Program Jom Baca 2024 di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Tanjung Aru, di sini.
KOTA KINABALU: Sastera perlu diterapkan kepada anak-anak bagi mengangkatnya sebagai budaya yang diamalkan dari kecil sehingga dewasa bagi menjamin kelangsungan penggunaan warisan budaya ini dalam masyarakat.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag berkata, penggunaan sastera semakin tenggelam dalam kehidupan seharian masyarakat berikutan tren masa kini yang cepat dan ringkas serta cara penyampaian maklumat yang pelbagai.
“Kiasan dan pantun begitu meluas digunakan dalam perbualan seharian pada masa dahulu dalam kalangan masyarakat setempat yang terkenal dengan sopan santun dan cenderung bertutur dengan lemah lembut untuk menyampaikan maksud tersirat.
“Usaha menerapkan penggunaan sastera kepada anak-anak perlu agar mereka tahu dan lebih mengenali cerita-cerita rakyat terdahulu yang kini semakin hilang dalam kehidupan kanak-kanak berkenaan.
"Sebenarnya terdapat pelbagai manfaat sastera dalam perkembangan kanak-kanak antaranya ialah peningkatan dalam keterampilan berbahasa, kognitif, simulasi imaginasi dan kreativiti,” katanya semasa merasmikan penutupan Festival Sastera Kanak- Kanak dan Program Jom Baca 2024 di Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Cawangan Tanjung Aru di sini.
Turut hadir isteri Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Cecilia Edwin Kitingan dan Datin Seri Panglima Linda Ewit, Isteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datin Lenny Natasha Musa, Pengarah Perpustakaan Negeri Fatimah Abdillah, ahli-ahli Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat (MUTIARA GRS) dan pelajar.
Menurutnya, Festival Sastera Kanak-Kanak dapat membawa masyarakat melihat kembali kepentingan sastera sebagai salah satu medium yang artistik dan indah dalam menyampaikan sesuatu mesej.
Juliah berharap festival itu dapat menyuntik semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, selain memberikan galakan membaca terutama dalam golongan kanak- kanak dan remaja melalui penulisan, pembacaan dan penceritaan.
Katanya, pelbagai aktiviti diadakan sempena festival ini kepada generasi muda dalam mengenali bidang sastera dan berkarya termasuklah penulisan cerita berantai, pelancaran buku kanak-kanak, sesi bercerita dan deklamasi sajak kanak-kanak.
Beliau berkata, sambutan Festival Sastera Kanak-kanak di Malaysia diadakan dua tahun sekali dan tahun ini adalah kali pertama Perpustakaan Negeri Sabah menganjurkan festival terbabit.
Sementara itu, bercakap tentang Jom Baca tahun 2024 yang bertemakan “Pembacaan Melestarikan Perpaduan”, Juliah berkata, ia adalah program tahunan yang diadakan untuk menjadikan tabiat membaca sebagai satu budaya masyarakat kita.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/23/penggunaan-sastera-perlu-diterapkan-sejak-kanak-kanak
Pages: [1]
View full version: Penggunaan sastera perlu diterapkan sejak kanak-kanak


ADVERTISEMENT