mattzzx Publish time 23-4-2024 04:58 PM

Penampilan kelima Olimpik bakar semangat Azizulhasni

https://assets.bharian.com.my/images/articles/azizulhasniawang06_1713862094.jpg
Pelumba trek negara, Datuk Azizulhasni Awang layak buat kali kelima ke temasya Olimpik. - NSTP/AZRUL EDHAM

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memintas bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk menjadi atlet lelaki pertama Malaysia yang mencapai rekod lima kali layak ke Sukan Olimpik.

Terdahulu, Pemangku Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan, Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan Azizulhasni bersama dua lagi pelumba berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri secara rasmi layak ke Olimpik Paris 2024 selepas pemberitahuan rasmi daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), awal pagi tadi.

Ketiga-tiga pelumba itu layak untuk beraksi dalam acara keirin dan pecut individu di Paris.

Azizulhasni sebelum ini berkongsi rekod dengan Chong Wei apabila masing-masing empat kali layak beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Dia mula membuat penampilan di Sukan Olimpik pada edisi 2008 di Beijing diikuti London 2012, Rio de Janeiro 2016, Tokyo 2020 manakala Chong Wei beraksi di Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Bagaimanapun, Chong Wei masih memegang status selaku atlet Malaysia paling berjaya di pentas Olimpik apabila tiga kali memenangi pingat perak bermula di Beijing, Rio de Janeiro dan London.

Pencapaian Azizulhasni layak ke Olimpik buat kali kelima menyaksikan dia menyamai rekod bekas penerjun wanita negara, Datuk Leong Mun Yee yang turut lima kali buat penampilan di temasya terbesar itu bermula di Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman, berkata pencapaian layak buat kali kelima berturut-turut beraksi di temasya terbesar dunia itu adalah satu sejarah besar dalam kerjayanya.

"Kelayakkan kali kelima ini adalah satu sejarah besar buat legasi saya kerana saya adalah atlet lelaki Malaysia pertama yang mencapai pencapaian berkenaan.

"Sukan lumba basikal adalah antara sukan yang proses kelayakkannya amat sukar dan rumit. Ditambah pula dengan pelbagai cabaran luaran yang terpaksa diharungi sepanjang proses itu.

"Setiap kitaran Sukan Olimpik itu mengambil masa selama 4 tahun. Bermaksud, pembabitan saya di temasya Sukan Olimpik ini sahaja sudah menelan tempoh 20 tahun," kata Azizulhasni menerusi hantaran di Facebook miliknya, semalam.

Menurut Azizulhasni, meskipun usianya sudah mencecah 36 tahun ia tidak pernah sesekali melunturkan semangatnya untuk meneruskan usaha bagi memburu pingat emas pertama buat kontinjen negara di pentas Olimpik.

"Penampilan di temasya kali ini juga amat menarik kerana saya sudah mencecah usia 36tahun. Usia yang mana rata-rata dari kita percaya yang ianya sudah lewat dan prestasi seseorang atlet itu mulai melantai.

"Apa yang saya tonjolkan kepada mereka yang celik di sini adalah bukan sesuatu yang mustahil untuk kita mendustai normal.

"Saya percaya umum tahu yang keberadaan saya di arena sukan negara bukanlah hanya untuk layak semata-mata ke temasya berkenaan.

"Dari penampilan pertama saya di Beijing 2008 lagi, objektif saya adalah tertumpu jauh lebih daripada itu. Ianya tidak pernah luntur dan saya sentiasa bekerja keras demi merealisasikan untuk negara tercinta.

"Kini, kita berada di fasa yang terakhir dan saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar dapat memberikan sepenuh sokongan dan mendoakan kejayaan saya serta rakan-rakan atlet lain yang akan berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti," katanya yang memenangi gangsa acara keirin di Rio de Jeneiro sebelum menyumbang perak dalam acara sama di Tokyo.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2024/04/1238191/penampilan-kelima-olimpik-bakar-semangat-azizulhasni
Pages: [1]
View full version: Penampilan kelima Olimpik bakar semangat Azizulhasni


ADVERTISEMENT