mattzzx Publish time 23-4-2024 01:31 PM

Isi petrol di 20 stesen minyak untuk seludup

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/tongddd_1713849568.jpg
Sebanyak 36 tong plastik yang mengandungi 900 liter petrol seludup dimuatkan dalam kereta jenis Proton Wira Aeroback dan ditahan di Kampung Gelang Kechik. FOTO IHSAN KPDN

Tumpat: Seorang lelaki dipercayai penyeludup membeli petrol di lebih 20 stesen minyak dalam tempoh hampir lima jam bagi tujuan penyelewengan.

Lelaki berusia 30-an itu bagaimanapun ditahan pihak berkuasa semalam ketika dalam perjalanan untuk membawa 900 liter petrol dalam 36 tong plastik untuk diseludup ke negara jiran.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor mengekori kenderaan dipandu lelaki berkenaan dari Pasir Mas sehingga ke Tumpat.

"Sebaik tiba di Kampung Gelang Kechik, Tumpat, kira-kira jam 9.20 pagi, kami berjaya menahan kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dipandu suspek.


"Pemeriksaan lanjut menemui 36 tong plastik mengandungi 900 liter petrol dengan anggaran nilai RM1,845 dipercayai untuk diseludup ke Thailand," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, soal siasat yang dibuat, lelaki terbabit mengakui petrol itu akan dibawa ke sebuah pangkalan haram di Pengkalan Kubor untuk dijual kepada individu lain dengan harga RM70 untuk setong.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam serbuan berasingan di sebuah kedai runcit di Jalan Kubang Siput, Kota Bharu, tengah hari semalam, sebanyak 13 tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas kerana tiada lesen runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA).

Azman berkata, serbuan dibuat berdasarkan aduan orang awam mengenai harga LPG yang dijual agak mahal berbanding daripada harga asal.

"Sebanyak 13 silinder tong gas petroleum cecair jenis kuantiti 14 dan 12 kilogram disita membabitkan nilai keseluruhan RM1,948.80," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1082827/isi-petrol-di-20-stesen-minyak-untuk-selud
Pages: [1]
View full version: Isi petrol di 20 stesen minyak untuk seludup


ADVERTISEMENT