mattzzx Publish time 22-4-2024 02:43 PM

Jurulatih bola sepak sambilan tak mengaku cabul tiga pelajar

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/tug_1713767125.jpg
Muhammad Fikri dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku tidak bersalah mencabul tiga pelajar. FOTO Alias Abd Rani

Muar: Jurulatih bola sepak sambilan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajar, Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Fikri Mohd Yazid, 27, bagaimanapun mengekalkan pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap ketiga-tiga pelajar berusia 14 dan 15 tahun di sebuah rumah di daerah ini antara 7 hingga 10 pagi, 5 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.


Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, manakala Seksyen 16 pula penjara tidak melebihi lima tahun dan juga sebatan tidak kurang dua kali.

Berdasarkan laporan dibuat mangsa, tertuduh didakwa mengajak mereka datang ke rumah kononnya mahu mengukur jersi.

Kesemua mangsa adalah pemain bola sepak mewakili sekolah, manakala tertuduh yang juga penjual burger menjadi jurulatih sambilan.

Pada hari kejadian, tertuduh dengan niat mahu mengambil kesempatan terhadap ketiga-tiga mangsa sebelum mereka mengadu kepada guru kaunseling dan membuat laporan polis.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh sebanyak RM18,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada masa sama, mahkamah juga menetapkan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan tidak boleh mengganggu atau berhubung dengan mangsa sehingga kes selesai.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1082493/jurulatih-bola-sepak-sambilan-tak-mengaku-cabul-tiga-pelajar
Pages: [1]
View full version: Jurulatih bola sepak sambilan tak mengaku cabul tiga pelajar


ADVERTISEMENT