mattzzx Publish time 22-4-2024 02:42 PM

'Saya tampar kerana dia desak berhenti kerja' - Tertuduh

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/TAMPA_1713766722.jpg
Bekas pekerja kedai perabot, Rosli membayar denda RM1,000 selepas mengaku salah menampar pipi rakan sekerjanya. FOTO Alias Abd Rani

Batu Pahat: "Saya tampar pipi kerana dia desak supaya berhenti kerja," kata bekas pekerja kedai perabot yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap rakan sekerja, bulan lalu.

Jawapan berkenaan diberikan tertuduh, Rosli Satiman, 44, ketika Majistret Suhaila Shafi'uddin bertanya kenapa bertindak sedemikian terhadap rakan sekerjanya.

Mengikut pertuduhan, Rosli didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap rakannya berusia 20 tahun di sebuah kedai perabot, di sini, pada10 pagi, 29 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh berang terhadap mangsa lalu menampar pipi kirinya menggunakan tangan.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dan mendapat rawatan di hospital dengan laporan polis kemudian dibuat terhadap tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum kerana sudah diberhentikan kerja serta perlu menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1082491/saya-tampar-kerana-dia-desak-berhenti-kerja-tertuduh
Pages: [1]
View full version: 'Saya tampar kerana dia desak berhenti kerja' - Tertuduh


ADVERTISEMENT