mattzzx Publish time 22-4-2024 12:17 PM

Ofsaid kuku jari kaki nafikan Coventry

https://assets.bharian.com.my/images/articles/coven22424a_1713757756.jpg
Pemain Coventry City kelihatan muram selepas tunduk di tangan Manchester United menerusi penentuan penalti pada separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley, London lewat malam tadi. – Foto AFP

LONDON: Saiz sebesar kuku jari kaki menafikan Coventry City tempat ke final Piala FA Inggeris selepas kebangkitan menakjubkan menentang Manchester United lewat malam tadi namun pengurus Mark Robins berkata, beliau bangga dengan pemainnya selepas tunduk menerusi penentuan sepakan penalti.

Robins, yang memenangi Piala FA sebagai pemain United pada 1990, menyaksikan pasukannya bangkit daripada ketinggalan 3-0 selepas 71 minit dengan gol menerusi Ellis Simms dan Callum O'Hare dan sepakan penalti Haji Wright pada masa kecederaan.

Kelab divisyen dua Coventry beraksi lebih baik pada masa tambahan dan berasakan mereka sudah meraih kemenangan mengagumkan ke atas juara 12 kali apabila Victor Torp menjaringkan gol dari jarak dekat 20 saat sebelum masa tambahan berakhir.

Kegembiraan 36,000 penyokong Coventry yang berkunjung ke Wembley bertukar menjadi tangisan apabila gol Torp dibatalkan oleh VAR dengan Wright didakwa berada dalam keadaan ofsaid beberapa sentimeter sebelum melakukan hantaran silang menyeberangi pintu gol.


United kemudiannya menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti sekali gus menafikan Coventry penampilan kedua pada final Piala FA, sesudah menewaskan Tottenham Hotspur pada 1987 serta menghalang mereka daripada menjadi pasukan pertama dari luar Liga Perdana Inggeris yang mara ke final sejak Cardiff City pada 2008.

Di sebalik kekalahan itu, ia dirasakan seperti satu kemenangan moral buat Coventry yang bertindak hebat selepas sejam pertama beraksi teruk.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/coven22424b_1713757759.jpg
Penyerang Coventry City, Haji Wright (kanan) menyumbat gol penyamaan pada masa kecederaan menerusi sepakan penalti pada separuh akhir Piala FA menentang Manchester United di Stadium Wembley, London lewat malam tadi. – Foto REUTERS

"Amat kecewa tetapi saya tetap berbangga," kata Robins yang mana golnya pada pusingan ketiga Piala FA untuk United menentang Nottingham Forest pada 1990 dikatakan menyelamatkan karier pengurus Alex Ferguson ketika itu sekali gus membuka jalan kepada satu era gemilang.

"Seseorang berkata kepada saya, saya tidak fikir mana-mana pasukan menghampiri final tanpa layak ke sana.

"Kami berhak untuk mara, kami hanya dipisahkan dengan 20 saat dan ofsaid sebesar kuku kaki, ia tidak masuk akal."

Robins berkata, jaringan Simms mencetus keyakinan pemainnya selepas bergelut untuk memberi sebarang impak sebelum itu.

"Kami fikir ia mungkin gol saguhati dan kemudian gol kedua masuk dan ia memberi kami talian hayat. Bulu roma saya meremang selepas itu. Haji sempurnakan penalti dan kami berdepan sebarang kemungkinan," katanya.

"Percubaan mereka terkena palang, kami pun sama. Satu gol dengan berbaki 20 saat. Ia mengambil masa yang lama. Pegawai keempat berkata tidak ada yang salah dengannya (pada mulanya). Ofsaid sebesar kuku kaki." – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/04/1237602/ofsaid-kuku-jari-kaki-nafikan-coventry
Pages: [1]
View full version: Ofsaid kuku jari kaki nafikan Coventry


ADVERTISEMENT