Vellfire Publish time 21-4-2024 06:06 PM

TROPI Sarawak sertai Perhimpunan Agung Kesatuan Giosains Eropah di Vienna, Austria

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240421/kch-ub210424-pg-tropi.jpg

Dr Lulie (enam kiri) dengan bangga membawa bendera Sarawak dan Malaysia merakam kenangan bersama peserta Perhimpunan Agung Kesatuan Giosains Eropah (EGU) yang lain.
KUCHING: Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika (TROPI) Sarawak menyertai Perhimpunan Agung Kesatuan Giosains Eropah (EGU) di Vienna, Austria dari 14 hingga 19 April bagi menunjukkan sokongan dan komitmennya terhadap projek penyelidikan kerjasama LiWeFor (Makmal Hidup bagi Penyelidikan Hutan Tanah Bencah).
Menurut TROPI menerusi satu kenyataan akhbar, LiWeFor merupakan projek berprestij empat tahun yang dibiayai Kesatuan Eropah diketuai oleh Prof Dr Ülo Mander dari Tartu University, Estonia.
Ia turut melibatkan saintis daripada Helsinki University (Finland), Institut Teknologi Karlsruhe (Jerman), TROPI (Malaysia) dan Institut Penyelidikan Amazon Peru (IIAP).
Tapak-tapak penyelidikan bagi LiWeFor terletak di Congo, Malaysia dan Peru dengan TROPI mengurus tapak-tapak di Sarawak, Malaysia.
LiWeFor bertujuan mewujud dan membangunkan rangkaian global 'makmal hidup' bagi penyelidikan hutan tanah bencah.
Usaha-usaha penyelidikan LiWeFor merangkumi kerja-kerja mengukur pelepasan gas rumah hijau daripada sampel tanah-tanah gambut tropika dan fluk batang daripada spesies pokok yang berbeza untuk mengenal pasti potensi sumber dan ketenggelamannya.
Penemuan penyelidikan boleh merumuskan penyelesaian berasaskan alam semula jadi untuk mengurangkan pemanasan global sebagai sebahagian daripada komitmen kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perhimpunan agung EGU setiap tahun menarik penyertaan ribuan penyelidik, ahli akademik dan pelajar pascasiswazah dari lebih 100 negara.
Pada edisi EGU2024, LiWeFor mengetuai kumpulan Biogeosciences dalam Sesi 3.23: Proses mikrob dan komuniti yang menjadi dasar kepada pelepasan gas rumah hijau (GHG) daripada ekosistem daratan.
Sesi ini bertujuan meningkatkan pemahaman tentang kitaran karbon dan nitrogen dalam kontinum tanah-tumbuhan-atmosfera yang mempengaruhi pelepasan GHG.
Diketuai Pengarahnya Datu Dr Lulie Melling, pasukan TROPI daripada Bahagian Penyelidikan Molekul dan Mikrobiologi yang terdiri daripada Frazer Midot dan Claudia Jenai Yeong menyertai EGU2024.
TROPI Sarawak dengan bangganya mewakili Malaysia pada persidangan itu dengan Frazer menyampaikan pembentangan lisan bertajuk ‘Genome-resolved metagenomics of ammonia-oxidising archaea in tropical peatland’, menonjolkan potensi peranan Nitrosotalea dalam pengoksidaan ammonia serta pelepasan nitrous oksida melalui pendekatan genom yang dipasang metagenome.
Sementara itu, Claudia membentangkan poster bertajuk ‘Potensi metanotrofi di tanah gambut tropika di bawah penggunaan tanah berbeza di Sarawak, Malaysia’, menerangkan kesan penggunaan tanah terhadap potensi pengoksidaan metana (CH4) oleh bakteria metanotropik.
Sebagai tambahan, TROPI Sarawak juga menghasilkan tiga poster dan satu pembentangan lisan dengan LiWeFor.
Tiga poster tersebut tertumpu kepada pertama 'Pelepasan CO2 dan CH4 secara besar-besaran daripada parit saliran di ladang kelapa sawit di tanah gambut', kemudian 'Metana dan nitrus oksida fluks dalam tanah dan batang kayu di hutan paya gambut tropika Malaysia' dan ketiga, 'Perbezaan mikrob kitar nitrogen.
Manakala perbentangan lisan bertajuk ‘Pembebasan nitrus oksida dari tapak tanah gambut tropika semula jadi dan terdegradasi di Malaysia'.
Ketua saintis Profesor Ülo Mander (baharu dipilih sebagai ahli Akademi Sains dalam perubahan global untuk Estonia) membentangkan 'Titik panas dan detik panas fluks metana dan nitrus oksida dalam hutan: dari tanah ke ekosistem'.
Beliau mengetengah dan membandingkan kajian metana dan nitrous oksida (gas rumah hijau) peringkat ekosistem di zon sederhana dan tropika.
Melengkapkan LiWeFor, ialahprojek penyelidikan PeatN2O, satu lagi inisiatif penyelidikan lima tahun mengenai nitrous oksida yang dibiayai melalui Majlis Penyelidikan Eropah.
Kumpulan penyelidikan ini terdiri daripada ahli daripada projek LiWeFor dan saintis dari Exeter University (UK), Hokkaido University (Jepun), Makerere Universitiy (Uganda), Minnesota University (AS) dan Universidad Nacional De la Amazonia Peruana (Peru).
Kerjasama penyelidikan ini dijangka menyumbang kepada faktor pelepasan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) melalui strategi guna tanah yang sesuai untuk mengurangkan pelepasan GHG dari tanah gambut.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/21/tropi-sarawak-sertai-perhimpunan-agung-kesatuan-giosains-eropah-di-vienna-austria
Pages: [1]
View full version: TROPI Sarawak sertai Perhimpunan Agung Kesatuan Giosains Eropah di Vienna, Austria


ADVERTISEMENT