Vellfire Publish time 21-4-2024 06:01 PM

KMKK perlu ketahui selok-belok undang-undang adat

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240421/btu-ub210424-ai-ketuamasyarakat-p1.jpg

Dr Rundi (empat kanan) menyampaikan cenderamata kepada Utong.
BINTULU: Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) perlu memahami peranan mereka yang bukan sekadar bertanggungjawab memastikan kesejahteraan hidup rakyat peringkat akar umbi, bahkan perlu mengetahui selok-belok undang-undang adat dan sebagainya yang kini telah melalui beberapa perubahan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, bukan mudah hendak menjadi temenggung, pemanca, penghulu kerana mereka perlu memahami peranan yang dimainkan serta undang-undang adat berkaitan.
Katanya, sekiranya apa yang dilakukan salah atau tidak betul, pemimpin peringkat akar umbi tidak harus segan untuk mengakuinya.
"Kerana itu mereka harus belajar mengenai banyak perkara sama ada berkaitan undang-undang adat istiadat, protokol, pengucapan awam dan sebagainya bagi memudah melakukan tugas berkaitan," ujarnya pada Majlis Makan Malam Penghargaan untuk bekas Temenggung Utong Sigan dan bekas Setiausaha Politik Premier Sarawak Jenny Bangga di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Beliau berkata, bagi ketua masyarakat yang baru dilantik, mereka perlu menjadikan bekas-bekas ketua masyarakat berpengalaman atau yang telah lama berkhidmat sebagai rujukan serta tidak segan untuk bertanya supaya tugas diamanahkan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
Ujarnya, ketua-ketua masyarakat tidak harus bekerja seorang diri sebaliknya perlu saling membantu supaya mereka tetap teguh dan kuat dalam menangani pelbagai perkara berkaitan terutama berkaitan permasalahan rakyat dan sebagainya.
"Jangan sesekali apabila tidak sehaluan kita (pemimpin akar umbi) berpecah kerana keadaan itu akan membawa kesan buruk (perpecahan) kepada rakyat di bawahnya," ujarnya.
Katanya, kepimpinan peringkat akar umbi kini telah melalui banyak perubahan bermula dari tahun 1970-an hingga 1980-an terutama dari segi undang-undang adat istiadatnya.
Justeru katanya, untuk menjadi temenggung, penghulu, pemanca atau ketua masyarakat dan kaum tiada jalan singkat melainkan mereka perlu belajar undang-undang adat, protokol, pengucapan awam dan sebagainya termasuk dinilai berdasarkan prestasi kerja semasa.
Pada masa sama Dr Rundi turut menggesa tuai-tuai rumah serta ibu bapa memain peranan bagi mencegah aktiviti penyalahgunaan dadah yang berkemungkinan berlaku di kawasan rumah-rumah panjang dengan memberi kesedaran dan nasihat kepada anak-anak buah terutama anak-anak muda mengenai bahaya dadah.
Katanya, mesej palsu dan fitnah juga tidak harus direka seterusnya dikongsi oleh penduduk kerana ia boleh menghuru harakan keadaan serta menyalahi undang-undang di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jenny yang cemerlang dalam khidmatnya bukan sahaja untuk kawasan Kemena tetapi seluruh Sarawak.
Katanya, ia memperlihatkan bahawa khidmat cemerlang yang telah ditunjukkan oleh bekas temenggung dan setiausaha politik ini selama 50 dan 10 tahun berkhidmat.
"Dan bekas Temenggung Utong yang berkhidmat sehingga 50 tahun bukan calang-calang, tidak hanya cergas sebagai pemimpin masyarakat bahkan terlibat dalam banyak kerja keusahawanan kini telah mencecah usia 82 tahun, wajar menjadi contoh dan rujukan anak muda serta pemimpin akar umbi lain untuk berjaya.
"Sekiranya mengikut cara beliau (Utong), kalau beliau boleh kita juga boleh, namun kita tidak harus dengki dengan kejayaan seseorang," katanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena.
Jelasnya, banyak cara untuk maju, kita bebas memilih mengikut kemahuan sama ada untuk mengikut yang positif ataupun negatif yang pada akhirnya semua orangsebenarnya mahukan kesejahteraan hidup.
Hadir sama isteri beliau Datin Sri Loreta Sawot, Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti dan isteri, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi dan isteri, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Nixon Joshua Ali, Temenggung baharu Limin Anai dan isteri serta Setiausaha Politik baharu Premier Sarawak Collin Patan.


https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/21/kmkk-perlu-ketahui-selok-belok-undang-undang-adat-dr-rundi
Pages: [1]
View full version: KMKK perlu ketahui selok-belok undang-undang adat


ADVERTISEMENT