Vellfire Publish time 21-4-2024 04:51 PM

Isu peruntukan kepada pembangkang, kerajaan harus elak 'pilih kasih'

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240419/kch-ub190424-hs-peruntukanjayum-p1.jpg

JAYUM
KUCHING: Kerajaan hari ini harus mengelak daripada mengamalkan sikap 'pilih kasih' dalam pemberian peruntukan kepada kawasan pembangkang di negara ini.
Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia Datuk Profesor Dr Jayum Jawan berkata, negara tidak akan ke mana-mana sekiranya sikap sedemikian diamalkan.
Menurutnya, usaha mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang untuk menyediakan peruntukan kepada pembangkang 'memperakukan' amalan tersebut.
"Pilih kasih merupakan sikap pemimpin berjiwa kecil dan berjiwa dendam di mana negara tidak ke mana dengan pemimpin seperti ini.
"Mengundi itu hak mutlak dan hak bebas rakyat serta rakyat yang mengundi pembangkang juga membayar cukai dan menyumbangkan kepada tabung wang negara.
"Selepas pilihan raya, menjadi tanggungjawab mana-mana parti yang menang dan memerintah untuk membangunkan semua kawasan, selain membantu rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya serta di mana sahaja mereka berada," katanya semasa dihubungi, hari ini.
Beliau yang juga Felo Akademi Sains Malaysia menjelaskan, mengadakan perbincangan mahupun MoU untuk tujuan itu tidak patut mengambil ruang perbahasan awam dan ia hanya membuang masa kerajaan untuk memerintah dengan lebih berkesan.
"Ini salah dari prinsip demokrasi, moral dan integriti sebuah kerajaan dan pemimpin di mana rakyat berhak menerima layanan sama rata daripada pemimpin negara.
"Sebuah kerajaan seharusnya tumpukan sepenuh masa dan tenaganya untuk membangunkan negara, selain menyelesaikan banyak masalah rakyat seperti kos sara hidup, kemiskinan, hubungan kaum yang memburuk dan prestasi anggota kerajaan yang menurun," tegasnya.
Mengenai tindakan pembangkang, Jayum yang juga penganalisis politik memberitahu pihak terbabit perlu menjadi badan semak dan imbang kepada kerajaan bagi memastikan usaha yang dilaksanakan kerajaan menjadi lebih efektif dan berkesan.
"Jangan hanya asyik meminta peruntukan dan mengabaikan tanggungjawab serta peranan sebagai pembangkang yang diperuntukkan dalam sistem demokrasi.
"Pembangkang adalah badan penyemak tindak tanduk kerajaan supaya kerajaan memainkan peranan mereka dengan efektif dan berkesan," jelasnya sambil menambah, pihak pembangkang patut menunjukkan di mana silap kerajaan dan pegawainya supaya tadbir urus negara bertambah baik.
Tindakan seperti itu tambahnya, penting dalam memastikan kerajaan sedar dan akur akan peranan mereka dalam tadbir urus negara.
"Sepatutnya peranan pembangkang adalah seperti itu dan bukan meminta dan mengemis daripada kerajaan.
"Di Malaysia sahaja pembangkang menuntut ini dan ia sama sekali jarang kita dengar pembangkang di negara maju menuntut peruntukan dan sebagainya," katanya.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/19/isu-peruntukan-kepada-pembangkang-kerajaan-harus-elak-pilih-kasih-jayum
Pages: [1]
View full version: Isu peruntukan kepada pembangkang, kerajaan harus elak 'pilih kasih'


ADVERTISEMENT