ultra78 Publish time 21-4-2024 10:35 AM

Ribuan rakyat Israel sertai protes anti-kerajaan, gesa diadakan pilihan raya

Ribuan rakyat Israel sertai protes anti-kerajaan, gesa diadakan pilihan raya
April 21, 2024 @ 10:04am


Saudara-mara dan penyokong tebusan Israel yang ditahan di Gaza sejak serangan 7 Oktober oleh pejuang Hamas memegang sepanduk dan mengibarkan bendera Israel ketika demonstrasi di hadapan Kementerian Pertahanan di bandar pantai Israel Tel Aviv, semalam, di tengah-tengah konflik berterusan di Semenanjung Gaza di antara Hamas dan Israel. -AFP

TEL AVIV: Ribuan penunjuk perasaan Israel turun ke jalanan, semalam, untuk menggesa diadakan pilihan raya yang baharu.

Mereka turut menuntut lebih banyak tindakan daripada kerajaan untuk membawa pulang tebusan yang ditahan di Gaza, dalam siri bantahan terbaharu terhadap Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Protes dilihat berterusan ketika perang di Gaza menghampiri bulan ketujuh dan di tengah-tengah kemarahan yang semakin meningkat terhadap kerajaan kerana masih terdapat 133 tebusan Israel ditahan gerakan Hamas.

Tinjauan menunjukkan kebanyakan rakyat Israel menyalahkan Netanyahu atas kegagalan keselamatan yang membawa kepada serangan dahsyat oleh pejuang Hamas ke atas masyarakat di selatan Israel pada 7 Oktober lalu.

Netanyahu berulang kali menolak pilihan raya awal kerana beliau dijangka kalah, malah pilihan raya ketika peperangan hanya akan memberi kelebihan kepada Hamas.

Seorang peserta protes, Yalon Pikman, 58, yang menghadiri perarakan di Tel Aviv, bertekad akan terus melakukan tindakan sama.

"Kami di sini untuk membantah kerajaan ini yang terus mengheret kami sebelum dan selepas 7 Oktober," katanya.

Menurut Israel, Hamas menahan 253 orang ketika serangan 7 Oktober yang membunuh kira-kira 1,200 orang.

Beberapa tebusan dibebaskan dalam gencatan senjata November, tetapi usaha untuk mendapatkan perjanjian lain dilihat terhenti.

Netanyahu berjanji untuk meneruskan kempen Israel di Gaza, yang menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan sudah membunuh lebih 34,000 rakyat Palestin, sehingga semua tebusan dibawa pulang dan Hamas dimusnahkan.

Serangan dron dan peluru berpandu minggu lalu ke atas Israel oleh Iran mengalihkan perhatian daripada konflik di Gaza. -REUTERS

Pages: [1]
View full version: Ribuan rakyat Israel sertai protes anti-kerajaan, gesa diadakan pilihan raya


ADVERTISEMENT