mattzzx Publish time 21-4-2024 09:55 AM

Hafizh raih kemenangan sulung bersama JDT Racing Team

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Hafizh_Syahrin2_1713618271.jpg
HAFIZH (tengah) yang bermula di petak hadapan mempamerkan tunggangan konsisten. FOTO Ihsan Asia Road Racing Championship

Kuala Lumpur: Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah menghadiahkan kemenangan sulung buat Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024.

Ini selepas pelumba berusia 30 tahun itu berjaya mengungguli perlumbaan pertama pusingan kedua kategori Asia Superbike 1000cc di Litar Antarabangsa Zhuhai di China, hari ini.

Hafizh yang bermula di petak hadapan mempamerkan tunggangan konsisten untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat.

Dia mengatasi pelumba pasukan Honda Asia-Dream Racing Astemo, Andi Farid Izdihar yang berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang mewakili TKKR BMW Racing Team ketiga.


Sebagai rekod, ini adalah kejuaraan pertama JDT Racing Team pada penampilan sulung dalam ARRC dan podium kedua pasukan itu selepas Hafizh meraih tempat ketiga ketika perlumbaan kedua pusingan pertama di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.

Hafizh yang menggunakan jentera Ducati Panigale V4R mendedikasikan kejuaraan sulung itu kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail merangkap pemilik pasukan itu.

"Ia bukan perlumbaan yang mudah kerana pada tiga pusingan terakhir saya mengalami kesukaran untuk menghentikan jentera.

"Kami akan cuba untuk memperbaikinya untuk perlumbaan kedua esok dan jika ia lebih stabil, saya percaya boleh berlumba dengan lebih baik.

"Apa pun, ini adalah kejuaraan pertama untuk JDT, saya berterima kasih kepada pasukan dan saya semua yang menyokong saya terutama bos saya Tunku Mahkota Ismail, kejayaan ini adalah untuk baginda.

"Terima kasih juga kepada rakyat dan Malaysia yang menyokong saya. Ini juga untuk anak saya," kata Hafizh ketika ditemubual selepas tamat perlumbaan.

Bekas pelumba MotoGP negara itu turut berharap dia dapat mengekalkan momentum dalam misi untuk memburu kejuaraan kedua dalam perlumbaan kedua, esok.
https://www.hmetro.com.my/arena/permotoran/2024/04/1081957/hafizh-raih-kemenangan-sulung-bersama-jdt-racing-team
Pages: [1]
View full version: Hafizh raih kemenangan sulung bersama JDT Racing Team


ADVERTISEMENT