mattzzx Publish time 21-4-2024 09:54 AM

Arsenal kembali tawan puncak EPL

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/FBL-ENG-PR-WOLVES-ARSENAL_1713659340.jpg
PENJAGA gol Arsenal David Raya menyelamatkan percubaan pemain Wolves, Mario Lemina. -FOTO AFP

London: Arsenal mengetepikan kekecewaan mereka yang tersingkir dari Liga Juara-Juara apabila kembali ke puncak Liga Perdana dengan kemenangan 2-0 ke atas Wolves awal pagi tadi.

Leandro Trossard dan Martin Odegaard menjaringkan gol pada penghujung setiap separuh masa untuk membawa Gunners satu mata di depan Manchester City yang mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Arsenal berada dalam bahaya selepas tiga perlawanan tanpa kemenangan.

Anak buah Mikel Arteta tewas 0-2 dalam Liga Perdana buat kali pertama tahun ini hujung minggu lalu di laman sendiri kepada Aston Villa, selain tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich.


Bagaimanapun, mereka bangkit memberi tekanan kepada juara bertahan City, yang menewaskan Chelsea 1-0 untuk mara ke final Piala FA awal pagi tadi.

"Kemenangan besar untuk kami," kata kapten Arsenal, Odegaard.

"Ia adalah minggu yang sukar untuk kami, sedikit keputusan yang sukar dan dari segi emosi tetapi kami perlu terus melakukannya. Hari ini adalah tentang bangkit semula dan mendapatkan kemenangan.

"Perjalanan masih jauh, masih sengit dalam perlumbaan kejuaraan, jadi hari ini adalah tentang kembali bersaing."

Arteta membuat hanya tiga pertukaran daripada pasukan yang tewas 0-1 di Munich pada Rabu lalu dan ia membuahkan hasil walaupun terpaksa menunggu hingga minit ke-45 untuk memecah kebuntuan menerusi Trossard.

Pengendali Wolves, Gary O'Neil mendakwa pasukannya dibelenggu krisis kecederaan paling teruk sepanjang karier profesionalnya.

Tuan rumah hampir mendahului permainan menerusi Joao Gomes, tetapi penjaga gol Arsenal, David Raya menyelamatkan keadaan.

Odegaard memastikan kemenangan buat Arsenal apabila menemui sasaran pada minit kelima masa kecederaan di babak kedua.

Liverpool yang berada di tangga ketiga masih boleh menyamai kutipan mata Arsenal apabila mereka bertandang ke Fulham malam ini.

Di kelompok bawah liga, harapan Luton untuk terselamat daripada penyingkiran terjejas apabila dibelasah Brentford 5-1 di Kenilworth Road.

Kekalahan terbesar liga di laman sendiri musim ini mengekalkan The Hatters satu mata di belakang Nottingham Forest, yang akan bertandang ke Everton hari ini.

Brentford memastikan kekal beraksi di Liga Perdana Inggeris musim depan dengan persembahan meyakinkan walaupun tidak dibantu penyerang England, Ivan Toney yang cedera.

Yoane Wissa meledak dua kali sebelum rehat, dengan Ethan Pinnock, Keane Lewis-Potter dan Kevin Schade turut menyumbang satu gol untuk The Bees.

Burnley kini hanya dua mata di bawah Luton dan tiga di bawah garis selamat selepas menewaskan Sheffield United 4-1.

Dua daripada lima kemenangan liga The Clarets musim ini adalah ke atas The Blades.

Burnley meledak dua kali dalam tempoh dua minit di akhir babak pertama menerusi Jacob Bruun Larsen dan Lorenz Assignon.

Gustavo Hamer merapatkan jurang untuk tuan rumah di awal babak kedua tetapi Lyle Foster dan Johann Gudmundsson memastikan kemenangan buat Burnley.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/04/1082048/arsenal-kembali-tawan-puncak-epl
Pages: [1]
View full version: Arsenal kembali tawan puncak EPL


ADVERTISEMENT