mattzzx Publish time 18-4-2024 04:51 PM

Polis tahan empat individu termasuk wanita disyaki samun, cekik pemandu teksi

https://assets.bharian.com.my/images/articles/samun18_1713428755.jpg
Semua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun berkumpulan. - NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad

JASIN: Sewa perkhidmatan teksi dari Tampin, Negeri Sembilan ke daerah ini sebelum menyamun pemandunya di sebuah ladang kelapa sawit.

Itu taktik empat sekawan termasuk seorang wanita yang merompak dan memukul termasuk mencekik seorang pemandu teksi warga emas sehingga pengsan, sebelum melarikan barangan berharga milik mangsa, kira-kira jam 2 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata berdasarkan laporan mangsa dan siasatan polis, kejadian berlaku selepas keempat-empat suspek menyewa teksi mangsa lelaki berusia 72 tahun di stesen Bas Tampin untuk ke daerah ini.

Katanya, sebaik sampai di Jalan Parit Raja menghala ke Rim, kira-kira 100 meter dari jalan utama, seorang daripada suspek lelaki menyuruh memberhentikan kereta di dalam kebun kelapa sawit dan terus mencekik leher pengadu serta memukulnya sehingga tidak sedarkan diri.


"Sebaik tersedar, pengadu mendapati dirinya berada di semak kelapa sawit dalam keadaan berdarah dan cedera pada muka, lebam mata sebelah kiri dan bengkak bibir serta paha kiri.

"Pengadu juga mendapati dompetnya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan wang tunai RM300 dilarikan.

"Selain itu, telefon bimbit, kunci rumah berserta teksi Proton Iswara warna merah bernombor pendaftaran WMF 2866 turut hilang," katanya menerusi kenyataan di sini.

Ahmad Jamil berkata, mangsa bekerja sebagai pemandu teksi sejak 2010 hingga kini mendapatkan rawatan di Hospital Jasin akibat kecederaan dialami.

Bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, katanya, pihaknya menahan keempat-empat suspek berusia 26 hingga 39 tahun di sebuah hotel di Bukit Baru, pada hari sama.

"Suspek pertama berusia 34 tahun bekerja sebagai penjual tisu dan memiliki 10 rekod jenayah dan narkotik.

"Suspek ketiga dan keempat berusia 30 tahun dan 39 tahun adalah pekerja am dan masing-masing memiliki lima dan tujuh rekod jenayah serta dadah.

"Wanita berusia 26 tahun itu pula seorang penganggur dan turut mempunyai rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 24 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun berkumpulan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/04/1236212/polis-tahan-empat-individu-termasuk-wanita-disyaki-samun-cekik-pemandu
Pages: [1]
View full version: Polis tahan empat individu termasuk wanita disyaki samun, cekik pemandu teksi


ADVERTISEMENT