Vellfire Publish time 17-4-2024 09:57 PM

Tiga individu mangsa terbaharu penipuan dalam talian

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240417/scam023.jpg

MIRI: Dua ahli perniagaan dan seorang suri rumah masing-masing kerugian RM2,000 setelah menjadi mangsa kes penipuan pembelian dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri telah menerima tiga laporan polis berhubung kes itu pada 16 April lalu.
Katanya, kes pertama membabitkan seorang ahli perniagaan berusia lingkungan 40-an yang telah memuat naik status di laman sosial Facebook untuk mencari nombor pendaftaran kenderaan yang dikehendakinya.
Mangsa telah dihubungi suspek melalui Facebook Messenger memaklumkan bahawa dia ada memiliki nombor pendaftaran kenderaan yang dicari mangsa.
Setelah berbincang, mangsa bersetuju membeli nombor itu dengan harga RM2,000 dan telah membuat pembayaran iaitu sekali transaksi ke satu akaun yang diberikan suspek melalui pindahan dalam talian semasa dia berada di Miri.
"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah membuat semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan mengesahkan nombor pendaftaran yang dibelinya daripada suspek tidak didaftarkan di dalam sistem," katanya.
Manakala dalam kes kedua menurut Alexson, mangsa juga ahli perniagaan, 20-an, yang telah melihat iklan di Facebook berhubung penjualan matawang China (RMB) dan boleh dimasukkan ke dalam e-dompet Alipay miliknya.
Katanya, mangsa telah berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan setelah berbincang, mangsa bersetuju untuk menukar mata wang Ringgit Malaysia bernilai RM2,000 kepada mata wang China RMB.
"Mangsa telah membuat pembayaran sekali transaksi ke satu akaun yang diberikan suspek melalui pindahan dalam talian semasa dia berada di Miri.
"Ahli perniagaan terbabit hanya menyedari dirinya ditipu apabila pelbagai alasan diberikan oleh suspek setelah pembayaran dilakukan dan mangsa tidak dapat lagi berhubung dengan suspek kerana nombornya telah disekat oleh lelaki itu," jelas beliau lanjut.
Sementara dalam kes ketiga menurut Alexson, kes membabitkan seorang suri rumah berusia 40-an yang kerugian RM2,000 setelah terperdaya dengan urusan jual beli emas secara dalam talian.
Katanya, mangsa yang berminat membeli seutas rantai emas dengan harga RM120 termasuk penghantaran telah membuat pembayaran menerusi lima kali transaksi melalui pindahan dalam talian ke dua akaun berbeza yang diberikan suspek membabitkan wang berjumlah RM2,000.
"Suri rumah terbabit menyedari dirinya telah ditipu apabila suspek tidak dapat dihubungi lagi setelah mangsa enggan membuat membuat pembayaran lagi.
"Ketiga-tiga kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan, " katanya.
Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan urusan jual beli dalam talian khasnya di laman sosial terutaman yang menawarkan harga lebih murah daripada harga pasaran.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/17/tiga-individu-mangsa-terbaharu-penipuan-dalam-talian
Pages: [1]
View full version: Tiga individu mangsa terbaharu penipuan dalam talian


ADVERTISEMENT