Vellfire Publish time 17-4-2024 09:51 PM

Lebuh raya dijangka dibina separuh kedua 2024

Projek mega hubungkan Limbang, Brunei dan Miri dengan Lawas ini dijangka siap lima tahun
https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240416/myy-ub160424-cc-awgtengah-p2.jpeg

Awang Tengah (duduk dua kiri) dan rombongan melawat Lukanisman (lima kiri, barisan belakang) di rumahnya hari ini.
MIRI: Pembinaan Lebuh Raya Pantai Sarawak Utara bernilai RM6.1 bilion dijangka bermula separuh kedua tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Projek mega yang menghubungkan Limbang, Brunei dan Miri dengan Lawas ini akan mempunyai empat lorong dan dijangka mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.
“Ia akan dibahagikan kepada lima pakej dan pembinaan akan dimulakan serentak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan serta Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Kedua berkata demikian ketika ditanya mengenai status projek itu semasa program ziarah raya ke Miri hari ini.
Beliau berkata, ini akan melengkapkan projek mega lain yang sedang dijalankan di wilayah utara terutama di Lawas dan Limbang, termasuk jeti dan pelabuhan laut dalam di Pulau Sari dan projek Lapangan Terbang Lawas.
Lebuh Raya Pantai Utara, Jalan Link Sarawak Sabah dan Lebuh Raya Trans Borneo dan cadangan Lapangan Terbang Lawas baharu adalah sebahagian daripada pelan pembangunan yang lebih besar bagi bahagian Limbang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan di Limbang bulan lepas bahawa projek jalan pantai akan diteruskan pada tahun depan dan kerajaan telah mengenal pasti kawasan yang akan dibangunkan sebagai pelabuhan dan Lapangan Terbang Lawas yang baharu.
Sebuah syarikat swasta akan terlibat dalam membangunkan tapak rekreasi menghadap Teluk Brunei yang tidak jauh dari pelabuhan.
Kemudahan yang dicadangkan di Pulau Sari berserta dengan projek Lapangan Terbang Lawas yang baharu, merupakan kunci kepada pelan strategik untuk menjadikan daerah ini sebagai pusat ekonomi dan logistik yang berkembang maju dan dapat memberi perkhidmatan kepada kawasan di luar sempadannya.
Lawas yang terletak di lokasi strategik di Borneo, berpotensi menjadi pintu masuk antarabangsa bagi Kalimantan Timur yang bersebelahan di mana ibu negara Indonesia baharu Nusantara akan ditubuhkan.
Mengenai projek Lapangan Terbang Lawas, Awang Tengah berkata kerja-kerja Fasa I sepatutnya bermula tahun ini.
Ia akan menggantikan lapangan terbang semasa bersebelahan Sungai Lawas yang terdedah kepada banjir semasa musim hujan dan air pasang.
Terdahulu, beliau bersama isterinya Datuk Dayang Morliah Awang Daud telah mengadakan kunjungan raya ke kediaman Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan MenteriWanita dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/16/lebuh-raya-dijangka-dibina-separuh-kedua-2024
Pages: [1]
View full version: Lebuh raya dijangka dibina separuh kedua 2024


ADVERTISEMENT