Vellfire Publish time 17-4-2024 09:40 PM

Sarawak masih tunggu nasihat Kementerian Luar Negeri berhubung usaha bawa pulang pelajar

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240416/kch-ub160424-jw-jojordan-p1a.jpg

Abang Johari ketika ditemui pemberita, menyatakan Sarawak masih menunggu nasihat Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi berhubung usaha membawa balik pelajar di Timur Tengah. - Gambar Kong Jun Liung
KUCHING: Sarawak masih menunggu nasihat Kementerian Luar Negeri berhubung sama ada membawa pulang pelajar Malaysia termasuk dari negeri ini susulan konflik di Timur Tengah ketika ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selain itu Sarawak juga ketika ini sedang berhubung dengan Kementerian Luar Negeri Pejabat Wilayah Sarawak dalam perkara berkenaan.
“Kita menunggu nasihat daripada Kementerian Luar sama ada keadaannya berbahaya atau tidak.
“Jika Kementerian Luar bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi memberikan pandangan bahawa pelajar kita yang ada di Timur Tengah hendaklah dibawa keluar, kita akan mengikutlah arahan tersebut.
“Kita tunggu apa nasihat Kementerian dan selain itu kita sedang berhubung rapat dengan Kementerian Luar Wilayah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Terminal dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais serta isteri Datin Sri Masnah Ahmad di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, bagaimanapun beliau tidak mempunyai angka sebenar pelajar Sarawak yang menuntut di Timur Tengah.
“Kita mempunyai banyak pelajar di Jordan selain di Mesir. Di Mesir kita banyak pelajar belajar dalam bidang perubatan selain bidang agama.
“Kalau di Jordan saya juga tidak ada anggaran jumlahnya tetapi memang ada (pelajar). Kalau Syria, setahu saya tiada. Tapi kita banyak di Jordan dan Mesir,” katanya.
Sementara itu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam laporan BERNAMA hari ini memberitahu akan berbincang dengan pihak berkaitan bagi sebarang tindakan lanjut susulan konflik di Timur Tengah ketika ini, termasuk keperluan sekiranya ada, untuk membawa pulang pelajar Malaysia dari negara terjejas.
KPT dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan rekod semasa, pelajar Malaysia yang berdaftar adalah seramai 1,872 orang yang berada di Jordan, 37 orang di Syria, lapan di Iran manakala tiada pelajar negara ini dilaporkan di Lubnan dan Iraq.
"Kementerian mengambil maklum situasi terkini di Timur Tengah yang melibatkan Iran dan Israel serta secara tidak langsung memberi tempias kepada negara-negara di sekitarnya seperti Jordan, Syria, Lubnan dan Iraq.
"KPT memantau menerusi pejabat Education Malaysia di Jordan dan Dubai serta sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin," menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama turut menasihati pelajar-pelajar Malaysia di negara yang terlibat agar terus bertenang, sentiasa berwaspada dengan situasi semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Konflik baharu tercetus di rantau Asia Barat apabila Iran melancar dron dan misil terhadap Israel sebagai membalas dendam ekoran rejim Zionis menyerang konsulat Iran di Damsyik sehingga mengorbankan 13 rakyatnya.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/16/sarawak-masih-tunggu-nasihat-kementerian-luar-negeri-berhubung-usaha-bawa-pulang-pelajar

Pages: [1]
View full version: Sarawak masih tunggu nasihat Kementerian Luar Negeri berhubung usaha bawa pulang pelajar


ADVERTISEMENT