Vellfire Publish time 17-4-2024 07:41 PM

Kuntau, seni pertahanan diri Iban harus dipertahankan

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240416/btu-ub160424ar-kuntau.jpg

Degom (duduk tiga dari kiri) bersama-sama tetamu yang hadir menjalankan upacara miring sebelum bermula acara tamat kuntau.
BINTULU: Seni mempertahankan diri kaum Iban iaitu kuntau harus terus dipelajari bagi memastikan ia terus diwariskan kepada generasi muda, kata Guro Kuntau Kipas Dam Dam Spring Tuai Rumah Degom Usit.
Menurut beliau, kuntau merupakan seni mempertahankan diri yang penuh seni dan semakin digemari generasi muda pada masa sekarang.
"Walaupun pada zaman dahulu ianya kurang dikenali kerana hanya dipelajari di kawasan hutan dan jauh dari penempatan, tetapi pada masa sekarang ia diajar di kawasan bandar dan senang diakses bagi sesiapa sahaja yang berminat bagi menguasai seni mempertahankan diri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan acara Tamat Kuntau Kipas Dam Dam Spring anjuran Persatuan Seni Kuntau Kipas Dam Dam Spring Bintulu pada Ahad.
Katanya, selaras dengan peredaran masa, kuntau pada masa ini merupakan seni dan budaya yang dikentengah dalam masyarakat Dayak dan kini diajar di kawasan bandar seperti Bintulu.
"Kini ia diketengahkan secara meluas supaya genarasi muda, khususnya komuniti Dayak pada masa sekarang, tahu akan seni budaya yang diwarisi dari nenek moyang mereka sendiri," jelas beliau.
Degom berkata bahawa pada zaman dahulu, hanya golongan lelaki sahaja yang dibenarkan belajar kuntau, namun kini golongan wanita juga boleh belajar kuntau.
Apa yang penting pada masa sekarang katanya, seni mempertahankan diri kuntau merupakan seni dan budaya yang telah lama wujud dan wajar dikembangkan dari masa ke masa.
"Harapan saya sebagai tenaga pengajar kuntau agar seni mempertahankan diri ini terus dikenali dan dikembangkan buat sesiapa sahaja yang ingin mempelajarinya sebagaimana seni mempertahankan diri yang lain," ujarnya.
Secara amnya, Degom mengajar Kuntau kipas Dam Dam sejak tahun 1989 yang mana pada tahun 2021 Persatuan Seni Kuntau Kipas Dam Dam Spring telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Sebagai rekod, sejak tiga tahun lepas hingga sekarang, persatuan ini mempunyai seramai 736 ahli persatuan yang telah belajar kuntau.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/16/kuntau-seni-pertahanan-diri-iban-harus-dipertahankan
Pages: [1]
View full version: Kuntau, seni pertahanan diri Iban harus dipertahankan


ADVERTISEMENT