Vellfire Publish time 17-4-2024 07:36 PM

Kerajaan Negeri terus pantau keadaan pelajar Sabah di Timur Tengah

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240417/timurtengah1w.jpg

ARIFIN

# Minta ibu bapa supaya tenang, terus doakan keselamatan dan kesejahteraan mereka di perantauan

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri meminta keluarga terutama ibu bapa pelajar yang sedang menuntut di Timur Tengah supaya bertenang ekoran krisis yang berlaku di situ kerana kerajaan menerusi Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi akan terus memantau keadaan pelajar di sana khasnya di Jordan dan Mesir.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Kerajaan Negeri dari masa ke semasa akan berhubung dengan Wisma Putra dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini.

"Baru sebentar tadi saya berhubung dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berhubung perkara ini. Alhamdulillah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Wisma Putra sudah bersedia dengan apa-apa keadaan termasuk membawa balik anak-anak kita sekiranya keadaan memerlukan, " katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Islam berkata, beliau bersama Pengarah Yayasan Sabah Datuk Seri Ghulam Haidar sentiasa berhubung dengan wakil Sabah di Timur Tengah bagi mendapatkan gambaran situasi pelajar di Mesir, Jordan dan Arab Saudi.

"Saya dan Ghulam sentiasa berhubung dengan Pengurus Kanan Pelajar Yayasan Sabah / Atase Pendidikan Sabah di Timur Tengah, Ustaz Sabli Aliju berhubung situasi semasa anak-anak Sabah di tiga negara berkenaan.

"Kita ada pengalaman menyelaras dan memantau malah membuat penghantaran balik anak-anak Sabah ke tanah air ketika krisis politik yang berlaku di Mesir, " katanya.

Mengikut rekod, setakat ini terdapat seramai 248 anak-anak Sabah yang sedang menuntut di Mesir, 79 di Jordan dan sembilan di Arab Saudi.

Menurut Arifin, mereka (pelajar) belajar di beberapa buah universiti dalam pelbagai jurusan dan mendapat biasiswa, dermasiswa dan ada juga yang belajar dengan biaya sendiri.

"Antara penaja mereka adalah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), dan JPA.

"Sekali lagi saya berharap para ibu bapa dan keluarga bertenang. Berdoalah kita moga krisis yang tegang kembali tenang agar anak-anak kita yang berada di luar negara berada dalam keadaan baik, tenang dan selesa menjalani pengajian mereka, " katanya.

Tambahan itu, Arifin turut meminta semua pihak supaya terus mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bukan sahaja anak-anak di perantauan tetapi juga saudara-saudara di Palestin yang sedang menerima ujian.


https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/17/kerajaan-negeri-terus-pantau-keadaan-pelajar-sabah-di-timur-tengah-arifin

Pages: [1]
View full version: Kerajaan Negeri terus pantau keadaan pelajar Sabah di Timur Tengah


ADVERTISEMENT