mattzzx Publish time 17-4-2024 02:39 PM

'Niat nak jamu 300 orang Sabtu ini, apakan daya banjir melanda'

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/barangbasa_1713334737.jpg
SHAHRIL bersama isterinya, Anita yang sedang mengemas barangan di PPS. FOTO Nurul Najwa Mohd Noordin

Kuala Selangor: Sepasang suami isteri terpaksa membatalkan rancangan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri, Sabtu ini, selepas kediaman mereka dinaiki air separas pinggang, petang semalam.

Hujan berterusan sejak 3 petang semalam menyebabkan banjir melanda Kampung Merbau Indah Tambahan, Desa Coalfields, di sini, sehingga ratusan penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.

Shahril Anuar, 41, menyifatkan, banjir itu antara kejadian terburuk sejak lebih 20 tahun menetap di perkampungan itu.

"Memang tak jangka walaupun rumah kami kerap dinaiki air kerana berdekatan dengan sungai dan kawasan rendah biasanya air cuma naik paras buku lali atau depan pintu rumah saja.

"Mungkin hujan berterusan semalam menyebabkan air naik paras pinggang sehingga kami terpaksa keluar rumah dan berpindah ke PPS.

"Macam kami kerugian lebih kepada bahan basah dan mentah memandangkan kebetulan kami rancang hendak buat rumah terbuka Sabtu ini," katanya ketika ditemui di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields di sini, hari ini.

Shahril bersama anak dan isterinya, Anita Juwinda Junaidi, 40, antara 54 mangsa daripada 15 keluarga masih berlindung sementara di PPS itu sejak malam tadi.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, bencana itu turut menjejaskan persiapan yang sudah dibuat untuk mengadakan rumah terbuka, hujung minggu ini.

"Memang kami rancang nak buat rumah terbuka Sabtu ini untuk menjamu kira-kira 300 orang termasuk keluarga, saudara mara dan rakan.

"Semua persiapan termasuk pasang kanopi di luar rumah dan penyediaan bahan rempah untuk memasak pun sudah dibuat selain membeli ayam dan daging.

"Tetapi semalam, bekalan elektrik terputus, kami tidak tahu sama ada bahan mentah itu masih boleh digunakan lagi atau tidak," katanya.

Katanya, mereka terpaksa membatalkan rancangan itu kerana keadaan dalam rumah masih tidak teratur dan terurus.

"Bila jadi macam ini, kami tiada 'mood' hendak teruskan rancangan ini kerana hendak cuci lumpur dan mengemas rumah memang makan masa selain karpet dan tikar getah baru dibeli juga sudah kotor.

"Tiga tahun lalu kejadian sama juga pernah berlaku sehingga kami terpaksa menghubungi seorang demi seorang senarai jemputan bagi memberitahu pembatalan rumah terbuka.

"Cuma kali ini nasib baik, kami baru buat persiapan dulu belum lagi memberitahu jemputan yang kononnya kami cadang hendak jemput mereka hari ini atau esok," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1080807/niat-nak-jamu-300-orang-sabtu-ini-apakan-daya-banjir-melanda
Pages: [1]
View full version: 'Niat nak jamu 300 orang Sabtu ini, apakan daya banjir melanda'


ADVERTISEMENT