mattzzx Publish time 16-4-2024 05:14 PM

Projek Pulau Silikon Pulau Pinang berjalan lancar

https://assets.bharian.com.my/images/articles/140424nstKhir01_1713256624.jpg
EXCO Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari. - Foto fail NSTP/Mikail Ong

GEORGETOWN: Pelaksanaan projek Pulau Silikon Pulau Pinang di sini, sedang berjalan lancar dengan kira-kira 6.47 hektar keluasan kawasan terbabit sudah ditebus guna sejak kerja penambakan laut dimulakan Oktober tahun lalu.

EXCO Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata pihaknya mengunjurkan sebanyak 161.87 hektar tanah akan ditebus guna pada akhir tahun hadapan.

"Kerja-kerja penambakan berjalan seperti dijadualkan. Setakat bulan lalu, kerja-kerja tambakan sudah membabitkan keluasan dan kita menyasar untuk menyelesaikan 161.87 hektar lagi menjelang akhir 2025," katanya di sini, hari ini.

Zairil berkata pulau buatan Silikon Pulau Pinang bakal menempatkan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas baharu yang memiliki teknologi tinggi, dilengkapi taman teknologi hijau pintar menggunakan tenaga boleh diperbaharui sekali gus menarik syarikat teknologi tinggi dari serata dunia.


"Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kita akan melihat kilang pertama bakal membuahkan hasil di Pulau Silikon Pulau Pinang.

"Ia akan bersedia untuk membuka peluang pekerjaan yang luas untuk masa depan Pulau Pinang," katanya.

Mengulas mengenai tindakan tujuh nelayan bersama dua lagi individu masing-masing dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) serta Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 29 Disember lalu, Zairil berkata biar kes itu diputuskan di mahkamah.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus, berkata 96 peratus nelayan daripada sembilan unit nelayan di kawasan Selatan Pulau Pinang sudah mendaftar skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

Katanya, permohonan skim berkenaan ditutup 31 Mac lalu dengan seramai 100 nelayan sudah memperoleh keseluruhan bayaran ex-gratia manakala 457 lagi menerima 75 peratus daripada jumlah bayaran berkenaan yang diperuntukkan kepada mereka.

"Kami akan terus memproses baki permohonan secara berfasa dan dijangka semua nelayan berdaftar akan dibayar 100 peratus ex-gratia pada pertengahan tahun ini.

"Kami juga akan melaksanakan inisiatif lain seperti dijanjikan dalam SIMP antaranya bantuan lebih besar seperti enjin berkuasa tinggi, latihan meningkatan kemahiran, peluang pekerjaan, perniagaan dan bantuan pendidikan kepada anak-anak mereka.

"Kerja-kerja penambakan Pulau Silikon sedang giat dijalankan, sementara pembangunan diteruskan. Kita mahu memastikan mata pencarian dan kesejahteraan masyarakat setempat, khususnya rakan nelayan berada dalam keadaan baik," katanya.

Pada Mei tahun lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan rancangan projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu yang kemudian dinamakan Pulau Silikon iaitu pengurangan daripada 1,821 hektar tambakan laut kepada 930 hektar.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1235411/projek-pulau-silikon-pulau-pinang-berjalan-lancar
Pages: [1]
View full version: Projek Pulau Silikon Pulau Pinang berjalan lancar


ADVERTISEMENT