sfhzuraz Publish time 16-4-2024 01:26 PM

MKN fokus mantapkan kerjasama agensi kawal keselamatan di sempadan

MKN fokus mantapkan kerjasama agensi kawal keselamatan di sempadan


BERNAMA - April 16, 2024 @ 10:35am


https://assets.bharian.com.my/images/articles/29tembok_1713234935.jpg
Foto hiasan/BERNAMA


ALOR SETAR: Kerjasama erat antara agensi keselamatan dalam melaksanakan kawalan dan operasi bersepadu dapat memastikan keselamatan di sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand terus terpelihara sekali gus menjamin keselamatan negara.
Pengarah Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah, Zuraini Mohd Yusof, berkata kerjasama itu sangat penting memandangkan negeri ini mempunyai keluasan sempadan yang agak besar dengan negara jiran.
"Keselamatan di sempadan itu menjadi keutamaan kita (MKN). Memang kita sasar untuk capai sifar pencerobohan walaupun susah nak realisasikan, tapi kita beri keutamaan supaya dapat meminimumkan pencerobohan daripada berlaku.
"MKN menyelaras operasi menyeluruh melibatkan agensi-agensi keselamatan di negara kita... kolaborasi antara jabatan terutama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri sendiri sangat baik," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Zuraini berkata kerjasama rapat termasuk melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis dan pasukan tentera yang bersama-sama melaksanakan kawalan keselamatan ketika ini berjaya meminimumkan kes melibatkan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Zuraini berkata MKN Kedah sememangnya memberi fokus utama berkaitan keselamatan sempadan di negeri ini yang mempunyai pintu masuk sempadan di darat, laut dan udara.
Beliau berkata walaupun jumlah kes pencerobohan membabitkan pendatang tanpa izin di negeri ini masih minimum, namun usaha membanteras aktiviti itu dan jenayah lain yang mengancam keselamatan negara perlu sentiasa dipertingkatkan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan rakyat juga perlu sentiasa diberi kesedaran berkenaan ancaman keselamatan dan boleh memainkan peranan untuk membanterasnya serta tidak meletakkan tanggungjawab itu kepada agensi kerajaan semata-mata.
"Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara dan kami percaya kesedaran ini perlu dipupuk daripada awal iaitu di peringkat sekolah... termasuk di peringkat institusi pengajian tinggi," katanya
MKN fokus mantapkan kerjasama agensi kawal keselamatan di sempadan (bharian.com.my)





Pages: [1]
View full version: MKN fokus mantapkan kerjasama agensi kawal keselamatan di sempadan


ADVERTISEMENT