mattzzx Publish time 15-4-2024 12:57 PM

Menaruh harapan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/14424shzuan1_1713152365.jpg
ANAK Muhammad Shazuan bersama ibu mereka, Nurul Azhani yang koma. FOTO ihsan Muhammad Shazuan Md Saad

Sik: "Hampir dua tahun berlalu, keadaan isteri tidak banyak berubah, dia masih tidak sedarkan diri," kata Muhammad Shazuan Md Saad, 38.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, isterinya Nurul Azhani Abu Hassan @ Hussain, 37, yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) koma selepas melahirkan anak bongsu mereka pada 6 Julai 2022.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan anak bongsu Muhammad Zakwan Adha, kini 20 bulan diserahkan kepada adiknya untuk dijaga agar dapat merasai kasih sayang seorang ibu.

"Rutin saya memberi susu kepada isteri melalui tiub setiap tiga jam dan membuang kahak secara kerap.


"Isteri hanya mampu membuka mata dan saya ada juga lihat pergerakan jari, tapi tidak banyak perubahan yang berlaku.

"Untuk Aidilfitri tahun ini, baju raya kami anak beranak pakai apa yang ada saja, duit yang ada digunakan untuk membeli keperluan isteri seperti susu khas dan lampin pakai buang dan ubat-ubatan," katanya.

Muhammad Shazuan yang menetap di Kampung Teloi Tua berkata, dia akan 'bergelut' setiap bulan untuk menyediakan keperluan isteri terutama susu khas berharga antara RM45 hingga RM50 setin.

Menurutnya, ini kerana sebanyak 30 tin susu diperlukan setiap bulan selain perlu menyimpan duit untuk menyewa ambulans bagi membawa isterinya ke hospital.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ada beri 16 tin susu khas setiap bulan manakala selebihnya saya akan beli sendiri.

"Isteri saya juga perlu dibawa ke Hospital Sik dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani setiap tiga bulan sekali.

"Kos sewa ambulans ke Hospital Sik untuk pergi balik adalah RM250 manakala ke HSAH pula RM500. Sekiranya rawatan lambat, saya perlu tambah RM50 bagi setiap jam," katanya yang juga siak masjid di kampung berkenaan.

Menurutnya, keluarganya menerima bantuan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 selain elaun tok siak untuk kelangsungan hidup.

Bagaimanapun, katanya, ia masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan mereka sekeluarga.

"Untuk sebulan paling kurang saya perlu ada RM2,500 untuk isteri dan anak. Saya tak dapat cari kerja lain kerana perlu menjaga isteri.

"Sebelum isteri bersalin, saya tampung pendapatan keluarga dengan bekerja sebagai tukang rumah.

"Anak juga semakin membesar dan terpaksa mengharapkan ihsan saudara-mara dan kenalan untuk kelangsungan hidup," katanya yang mempunyai dua lagi anak berusia 13 dan 11 tahun.

Katanya, dia berharap masih ada sinar untuk isterinya kembali sembuh kerana anak merinduinya.

Sebelum ini, media melaporkan Nurul Azhani pengsan dan jantungnya terhenti setengah jam sebelum disahkan koma oleh doktor.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1080135/menaruh-harapan
Pages: [1]
View full version: Menaruh harapan


ADVERTISEMENT