mattzzx Publish time 15-4-2024 11:33 AM

Appa terbaik!

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/kjankie1_1713138556.jpg
ANAK keempat daripada lima beradik, Janakie bersama suami dan anak tular ketika ziarah kubur arwah bapanya, Mohd Ja’afar yang memeluk agama Islam sebelum meninggal ketika berusia 73 tahun pada 2019 di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh. - FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Sungai Buloh: "Saya bukan anak terbaik, tetapi saya cuba dan berusaha menjadi anak yang terbaik walaupun takdir 'menulis' nama serta agama appa (ayah) berubah namun dia tetap bapa kesayangan saya yang sentiasa berusaha mahu menjadi bapa terbaik untuk kami lima beradik," kata K Janakie.

Janakie, 50, mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi kisahnya berlapang dada dan reda menerima keputusan bapa, Mohd Ja'afar Abdullah atau A Krishnan memeluk Islam biarpun pada mulanya hakikat itu sukar diterima keluarganya.

Tiga tahun selepas bapa memilih Islam, hati Janakie yang ketika itu berusia 19 tahun reda sepenuhnya menerima keputusan bapa tersayang yang memeluk Islam pada 1998.

Malah, lebih mengharukan perbezaan agama tidak menghalang ibu kepada seorang anak perempuan itu menjaga bapa dengan baik sehingga lelaki itu menghembuskan nafas terakhirnya pada 2019 di sisinya dan suami, R Ananthen, 51.

Berkongsi kisahnya, Janakie berkata, mereka sekeluarga terutama ibunya sukar menerima keputusan bapa sehingga ia mencetuskan perbalahan keluarga namun mengakui bapanya sentiasa berusaha membaiki hubungan itu sebelum akhirnya dia terbuka hati menerima pilihan lelaki itu.

"Siapa yang tak sedih apabila ahli keluarga kita memilih menukar agama. Ketika appa memilih Islam saya berusia 16 tahun, saya masih ingat amma (ibu) serta ahli keluarga lain sedih dengan berita itu dan kami sukar menerimanya.

"Walaupun pegangan hidup appa sudah tak sama dengan kami, tetapi dia tetap menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik, malah sentiasa berusaha menjadi bapa yang terbaik. Nafkah dan keperluan kami dia sentiasa berusaha beri yang terbaik," katanya ketika ditemui.

Katanya, dia akhirnya terbuka hati menerima keputusan bapa dan mula memujuk ibu serta adik-beradik lain kerana tidak mahu hubungan keluarga mereka renggang sehingga boleh melenyapkan kasih sayang antara mereka.

"Untuk menerima kehidupan baru appa memang sukar dan mengambil masa lama. Walaupun memeluk Islam, tetapi appa tidak pernah meninggalkan kami dan sebagai bapa, sentiasa ada bersama biarpun sudah tidak duduk serumah.

"Appa tidak pernah abaikan tanggungjawabnya pada kami dan itu membuatkan saya menerima pilihan dia. Saya selalu cakap dengan amma dan ahli keluarga lain yang kita semua sudah berusia serta sampai bila mahu bergaduh dan akhirnya semua termasuk amma boleh menerimanya dengan baik," katanya.

Dia bekerja sebagai pengurus latihan agensi di syarikat insurans berkata, bapanya sudah berkahwin lain dan mengakui saat paling bahagia dalam hidupnya apabila melihat semua ahli keluarganya termasuk bapa dan ibu tiri berkumpul pada majlis makan malam perkahwinannya di Pahang, malah mengakui hubungannya dengan ibu tiri juga masih baik.

"Saya ramai kawan orang Melayu (beragama Islam) dan faham serta senang dengan cara mereka, tetapi apabila bapa sendiri masuk Islam memang sukar nak terima namun saya fikir sudah takdir dia dan selagi tak buat benda tidak baik dan dia cuba baiki hubungan dan hormat kami saya pilih berdamai saja.

"Perbezaan agama tidak menghalang kami menjadi keluarga dan apa pun berlaku appa tetap ayah kami yang mendidik dan menafkahi kami. Majlis perkahwinan anak, appa juga akan uruskan, malah ketika amma meninggal dunia appa juga bantu.

"Apabila Deepavali saya dan suami beraya di rumah appa dan kami juga sambut Aidilfitri bersama appa. Appa suka masakan suami saya dan suami akan masak apa saja diminta, tetapi tetap hormatnya sebagai Muslim dan mencari sumber makanan halal atau dia sediakan," katanya.

Janakie berkata, bapanya meninggal dunia pada 2019 pada usia 73 tahun kerana sakit tua dan dia membawa bapa pulang ke rumahnya di Damansara Damai di sini untuk menjaganya selama hampir tiga bulan sebelum appa meninggal dunia ketika dirawat di hospital selama dua minggu.

"Urusan pengebumian bapa diuruskan saya dan suami dengan bantuan rakan beragama Islam, malah mereka menerangkan mengenai tahlil bapa dan kami bersedekah makanan dan sejadah di beberapa masjid atas nama bapa.

"Suami bersihkan dan siram pokok pusara appa hampir setiap minggu dan kami pesan kepada anak terus ziarah kubur tata (atuk) apabila kami tiada nanti. Apa saya lakukan ini dapat sokongan suami yang mahu saya berbakti kepada appa," katanya menyifatkan bapa aktif dalam politik suka membantu sesiapa saja.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1080068/appa-terbaik
Pages: [1]
View full version: Appa terbaik!


ADVERTISEMENT