mattzzx Publish time 15-4-2024 10:29 AM

Scheffler rangkul gelaran Masters kedua

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/sch1_1713144733.jpg
SCOTTIE Scheffler meraikan kejayaannya dengan mengenakan jaket hijau dan trofi kemenangan. FOTO REUTERS

Augusta: Pemain golf nombor satu dunia, Scottie Scheffler meraih gelaran Masters keduanya selepas menguasai sembilan lubang terakhir untuk kemenangan empat pukulan di Augusta National.

Scheffler, yang turut menyarung jaket hijau pada tahun 2022, memenangi hadiah wang tunai AS$3.6 juta (RM17.16 juta), jumlah tertinggi dalam sejarah kejohanan.

Dia mengatasi cabaran rakan senegara dari Amerika Syarikat (AS), Collin Morikawa dan Max Homa, serta Ludvig Aberg dari Sweden yang beraksi cemerlang pada penampilan sulungnya.

Scheffler merakam tiga birdie dalam enam lubang terakhir untuk pusingan empat bawah par 68 dan menamatkan saingan 72 lubang dengan catatan 11 bawah par 277, manakala Aberg di tempat kedua pada 281 pukulan selepas melakukan 69 pukulan di pusingan terakhir.

Scheffler menyamai Tiger Woods sebagai satu-satunya pemain memenangi Masters sebanyak dua kali ketika berada di ranking teratas dunia.

Dia turut muncul pemain keempat termuda memenangi lebih daripada satu gelaran Masters pada usia 27 tahun, di belakang Woods, Jack Nicklaus dan Seve Ballesteros.

Woods menamatkan saingan di tempat terakhir dengan 16 atas par 304, penampilan Masters terburuknya selepas dibelenggu kecederaan belakang dan kaki akibat kemalangan pada tahun 2021.

Legenda golf berusia 48 tahun itu bagaimanapun bertekad untuk bermain di keempat-empat kejohanan major tahun ini.

"Saya akan membuat persediaan rapi untuk Pinehurst, Valhalla dan Troon. Saya harap badan saya mampu menanganinya," kata Woods.
https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2024/04/1080108/scheffler-rangkul-gelaran-masters-kedua
Pages: [1]
View full version: Scheffler rangkul gelaran Masters kedua


ADVERTISEMENT