sfhzuraz Publish time 13-4-2024 02:23 PM

Suami isteri maut, motosikal berkuasa tinggi terbabas rempuh pokok

Suami isteri maut, motosikal berkuasa tinggi terbabas rempuh pokok


Oleh Syaherah Mustafa - April 13, 2024 @ 1:51pm bhnews@bh.com.my



https://assets.bharian.com.my/images/articles/photo1712985877_1712987496.jpg
Keadaan motosikal berkuasa tinggi yang terbabit nahas sehingga meragut nyawa pasangan suami isteri dalam kejadian di Kampung Bukit Tok Ali, Jalan Persekutuan Jeli-Dabong, pagi semalam. - Foto ihsan polis



JELI: Sepasang suami isteri maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangi mereka terbabas di Kampung Bukit Tok Ali, Jalan Persekutuan Jeli-Dabong di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob, berkata siasatan awal mendapati dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, motosikal berkuasa tinggi jenis BMW ditunggang mangsa dari arah Jeli ke Dabong dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu terbabas ke dalam semak sebelum merempuh sebatang pokok.
"Akibat kemalangan itu, penunggang, Saharudin Mohd Yusoff, 50, dan Azilawati Jusoh, 50, cedera parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Balah.
"Jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jeli untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, abang Azilawati, Mokhtar, 63, berkata sebelum ini pasangan suami isteri berkenaan pulang ke kampung menggunakan kereta, namun tidak menyangka keputusan pulang beraya kali ini dengan motosikal meragut nyawa mereka.
Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada pihak polis kira-kira jam 9.30 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian, namun akibat kesesakan jalan raya dia hanya sempat menatap wajah kedua-dua mangsa di Unit Forensik Hospital Jeli.
"Pada awalnya, saya dimaklumkan hanya Saharudin yang meninggal dunia dan ketika dalam perjalanan ke hospital, saya sekali lagi menerima panggilan telefon memaklumkan Azilawati juga sudah tiada.
"Saya diberitahu arwah Azilawati sempat memberikan kata laluan telefon bimbitnya kepada orang awam yang membantu mereka sebelum dia meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik berhampiran.
"Sebaik selesai urusan bedah siasat, pasangan ini dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kelubi, Chetok, Pasir Mas, jam 4 pagi tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mokhtar berkata, arwah Azilawati yang juga adik kepada isterinya, Azizah Jusoh, 53, disifatkan seorang yang peramah dan pasangan suami isteri itu memang minat dengan dunia permotoran berkuasa tinggi sejak lebih 10 tahun lalu.
"Mereka bergerak pulang awal sehari sebelum hari raya dengan motosikal dari Sepang, Selangor ke Chetok, Pasir Mas kerana mahu mengelak kesesakan lalu lintas. Malah, dari awal mereka tidak memaklumkan kepada keluarga akan pulang bermotosikal kerana tidak mahu kami semua bimbang.
"Malam kelmarin, mereka berdua makan malam di rumah kami dan arwah Saharudin dilihat sangat berselera, namun tidak sangka rupanya itu petanda mereka akan pergi buat selama-lamanya," katanya.
Suami isteri maut, motosikal berkuasa tinggi terbabas rempuh pokok (bharian.com.my)





Pages: [1]
View full version: Suami isteri maut, motosikal berkuasa tinggi terbabas rempuh pokok


ADVERTISEMENT