sfhzuraz Publish time 13-4-2024 12:35 PM

RMR 2.0 percepat miliki rumah

RMR 2.0 percepat miliki rumah

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim - April 13, 2024 @ 10:11am nfazlina@bh.com.my



https://assets.bharian.com.my/images/articles/NewHouse13_1712974303.jpg




KOTA BHARU: Program Rumah Mesra Rakyat 2.0 (RMR 2.0) yang baru diperkenalkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mampu mempercepatkan peluang mereka yang layak memiliki kediaman sendiri dalam tempoh maksimum tiga bulan sahaja.
Pelaksanaan program RMR 2.0 jauh lebih cepat, jika dibandingkan dengan RMR 1.0 yang memerlukan pemohon menunggu giliran masing-masing yang mengambil masa bertahun-tahun.
Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa, berkata pihaknya menyasar pembinaan sebanyak 3,000 unit rumah RMR 2.0 disiapkan sehingga Disember tahun ini.
"Syarat kelayakan pemohon mendapatkan RMR 1.0 dan RMR 2.0 adalah sama, termasuk pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM5,000 dan pemohon layak mendapat subsidi kerajaan sebanyak RM20,000.
"Namun yang membezakannya, pemohon RMR 1.0 perlu mencagarkan tanah mereka kepada SPNB untuk pinjaman sebanyak RM55,000 selama 16 tahun, namun kelulusannya perlu mengikut giliran.
"Bagi RMR 2.0, baki bayaran pembinaan rumah RM55,000 selepas subsidi perlu dibayar secara tunai kepada SPNB dengan pemilik tidak perlu mencagar tanah, selain proses pembinaan jauh lebih cepat kerana tidak perlu menunggu giliran," katanya kepada BH.
https://assets.bharian.com.my/images/articles/bh13husamspnb_1712974301.jpg
Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa. - Foto fail NSTP

Husam menjelaskan, walaupun program RMR 2.0 baru diperkenalkan sejak Februari lalu dan belum dilancarkan secara rasmi, namun pihaknya sudah menerima 58 permohonan yang layak di seluruh negara.
Malah katanya, sebuah rumah di Kelantan juga sudah siap dibina baru-baru ini dengan hanya mengambil masa kira-kira 45 hari pembinaan dan majlis penyerahan akan dilakukan tidak lama lagi.
"Tujuan utama kita memperkenalkan Program RMR 2.0 kerana kita mahu pemohon yang berkemampuan memiliki kediaman sendiri dengan lebih cepat tanpa menunggu giliran selama bertahun-tahun. Untuk RMR 2.0 kita anggarkan dua hingga tiga bulan sahaja mereka sudah mendapat rumah.
"Berbanding RMR 1.0 sehingga kini sudah menerima lebih 90,000 permohonan dan bayangkan selama mana mereka perlu menunggu untuk mendapatkan kediaman sendiri, memandangkan keupayaan SPNB hanya mampu membina sekitar 5,000 unit sahaja setahun.
"Untuk tahun lalu, kita membina lebih 5,000 unit memandangkan SPNB mendapat peruntukan tambahan pada Oktober tahun lalu berbanding peruntukan asal 3,550 unit.
"Dengan adanya RMR 2.0, ia mampu mengurangkan tekanan menunggu RMR 1.0," katanya yang menyatakan keluasan setiap rumah itu adalah 750 kaki persegi," katanya.
Tak abai bina RMR 1.0Bagaimanapun katanya, walaupun program RMR 2.0 diperkenalkan, namun pihaknya tidak mengabaikan pembinaan untuk RMR 1.0 dan ia tetap berjalan seperti biasa.
Katanya, sejak RMR diperkenalkan 2002, sebanyak lebih 70,000 unit kediaman sudah dibina di seluruh negara dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi diikuti Terengganu dan Johor.
Pada masa sama, Husam turut mengakui SPNB berdepan tunggakan pembayaran daripada pemilik RMR 1.0 dan meminta pihak berkenaan berusaha membuat pembayaran kerana wang berkenaan akan digunakan untuk pembinaan kediaman kepada mereka yang lain.
"Ada beberapa faktor yang menyebabkan berlaku tunggakan. Faktor pertama kerana ada di kalangan mereka yang menganggap RMR adalah rumah percuma, namun ada juga kategori yang mereka benar-benar tidak layak iaitu tergolong daripada golongan asnaf.
"Untuk mereka yang benar-benar tidak layak iaitu sebagai contoh di Selangor, kita kenal pasti 130 pemilik adalah golongan asnaf, kita menghantar permohonan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membiayai baki bayaran dan perkara ini masih dalam pertimbangan LZS," katanya.
"Pada masa sama, ada juga yang gagal bayar tanpa sebab dan untuk kategori ini, kita menghantar notis supaya mereka melakukan pembayaran sebagaimana perjanjian. Jangan kerana sudah mendapat rumah, kita menafikan hak orang lain yang turut memerlukan," katanya.
RMR 2.0 percepat miliki rumah (bharian.com.my)




Pages: [1]
View full version: RMR 2.0 percepat miliki rumah


ADVERTISEMENT