mattzzx Publish time 8-4-2024 04:10 PM

Pekerja angkat bagasi mengaku bersalah samun 'nenek' di stesen minyak

https://assets.bharian.com.my/images/articles/izhar_ismail_1712562769.jpg
Izhar mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga emas di sebuah stesen minyak pada bulan lalu. - NSTP/MEOR RIDUWAN MEOR AHMAD

MELAKA: Seorang pekerja angkat bagasi didakwa di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga emas di sebuah stesen minyak di sini pada bulan lalu.

Tertuduh, Izhar Ismail, 33, mengaku bersalah selepas dibaca dan diterangkan pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama dua individu yang masih bebas, melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa berumur 62 tahun sehingga menyebabkan warga emas itu kerugian RM1,500 di sebuah stesen minyak di Jalan Malim, kira-kira jam 12.30 tengah hari 19 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan.


Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan, tidak menawarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh yang tiada diwakili peguam.

Hakim Elesabet Paya Wan kemudian menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes bagi fakta dan hukuman di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman, dan tiada ikat jamin ditawarkan kepada tertuduh.

Berdasarkan hasil siasatan polis, kejadian berlaku ketika mangsa hendak masuk ke dalam kereta selepas membuat pembayaran pengisian minyak.

Beg tangan mangsa dikatakan diragut oleh seorang daripada suspek yang masih bebas, dari tingkap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton sehingga warga emas itu terseret sejauh kira-kira 80 meter ke simpang jalan utama.

Akibat kejadian itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan serta badan, dan terpaksa menjalani dua pembedahan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/04/1232984/pekerja-angkat-bagasi-mengaku-bersalah-samun-nenek-di-stesen-minyak
Pages: [1]
View full version: Pekerja angkat bagasi mengaku bersalah samun 'nenek' di stesen minyak


ADVERTISEMENT