mattzzx Publish time 8-4-2024 12:09 PM

Kane 'pulang' ke utara London

https://assets.bharian.com.my/images/articles/kaned8424_1712548542.jpg
Harry Kane (tengah) mampu meledak banyak gol bersama Bayern Munich tetapi kelabnya bergelut dan mungkin mengakhiri musim tanpa sebarang trofi kejuaraan. – Foto AFP

MUNICH: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane kembali ke utara London untuk berdepan musuh lama Arsenal pada suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini dan mendapati dirinya berdepan masalah biasa.

Sekali lagi, Kane akan tampil di Stadium Emirates sebagai permata dalam pasukan yang bergelut dan kelihatan akan mengakhiri musim mengecewakan tanpa sebarang trofi kejuaraan.

Kali ini bagaimanapun Kane menyarung jersi merah dan putih Bayern Munich, kelab gergasi yang merudum dek kehebatan luar biasa Bayer Leverkusen kendalian Xabi Alonso musim ini.

Terkenal kerana tidak pernah menjulang trofi di sebalik karier gemilang, Kane meninggalkan Spurs untuk menyertai Bayern, kelab yang sinonim dengan kejayaan dan trofi kejuaraan.


Kane pantas mengukuhkan dirinya sebagai pemain paling penting Bayern, dengan 32 gol dalam 28 perlawanan liga selain enam gol lagi dalam Liga Juara-Juara.

Kapten England itu bagaimanapun jauh daripada menggapai trofi kejuaraan sulung dalam kariernya.

Leverkusen, kelab yang sudah beberapa kali hanya mampu muncul naib juara liga di belakang Bayern, kini mendahului jauh 16 mata dengan berbaki enam perlawanan dan mungkin boleh memastikan kejuaraan liga buat julung kali hujung minggu ini, di tengah-tengah dua pertembungan dengan Arsenal.

Berada megah di persada EPL, penyokong Arsenal lebih suka menyindir Kane dengan menyatakan dia sudah membawa badi tanpa kejuaraannya bersama ke Bavaria.

Ketika Kane membayangkan kepulangan semula ke utara London yang lebih menggembirakan selepas perpindahan bernilai 100 juta euro (RM515 juta), aksi awal pagi Rabu ini memberi kesempatan kepadanya untuk mengecewakan Arsenal yang kekurangan pengalaman dalam kancah bola sepak Eropah. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/04/1232877/kane-pulang-ke-utara-london
Pages: [1]
View full version: Kane 'pulang' ke utara London


ADVERTISEMENT