mattzzx Publish time 7-4-2024 04:26 PM

Pemain PERR Pahang dapat imbuhan juara lepas Aidilfitri

https://assets.bharian.com.my/images/articles/WhatsApp_Image_2024-04-07_at_15.24.05_1712476595.jpg
Pasukan Pahang yang muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2023. NSTP/MOHD RAFI MAMAT

KUANTAN: Persatuan Bola Sepak Melayu Pahang (PBMP) memberi jaminan wang imbuhan setiap pemain dan pegawai pasukan selepas mereka muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) musim lalu akan diberikan selepas Aidilfitri.

Setiausaha Kehormat PBMP, Nazri Hussain berkata, sebelum ini pihaknya merancang untuk mengagihkan wang imbuhan berkenaan sebelum Aidilfitri minggu depan, namun disebabkan berlaku kelewatan menerima wang terbabit memaksa agihan ditangguhkan.

"Kita menerima wang hadiah kemenangan PERR 2023 sebanyak RM80,000 daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) pada 20 Mac lalu. Beberapa proses perlu dilakukan sebelum agihan dapat dilakukan kepada pemain dan pegawai.

"Saya bagi pihak PBMP memohon maaf pada pemain dan pegawai pasukan Pahang kerana berlaku kelewatan yang tidak dapat dielakan, sebenarnya kita lewat menerima wang imbuhan berkenaan daripada PBSMM," katanya ketika dihubungi hari ini.


Pahang muncul juara PERR selepas menewaskan Terengganu 4-1 pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur, pada 10 Disember tahun lalu.

Kejayaan skuad kendalian jurulatih, Mohd Yazeed Hamzah itu membolehkan mereka meraih wang kemenangan bernilai RM80,000 selain medal dan trofi Piala Emas Raja-Raja.

Kali terakhir skuad Tok Gajah muncul juara PERR pada 2018 lalu sekali gus merampas mahkota kejuaraan dari Selangor yang terkandas di peringkat separuh akhir.

Nazri berkata, penyerahan wang imbuhan kemenangan kepada pemain dan pegawai pasukan Pahang dijangka akan diadakan pada majlis jamuan Aidilfitri yang akan ditetapkan tarikhnya kemudian.

Beliau menambah, ketika Pahang muncul juara PERR pada 2018, PBMP memberi RM2,000 kepada setiap pemain sebagai imbuhan atas kejayaan diraih.

"Saya berharap pemain dan pegawai pasukan Pahang dapat menyambut Aidilfitri kali ini dalam suasana lebih ceria terutama apabila bakal menerima imbuhan hasil penat lelah mereka sepanjang saingan PERR musim lalu," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2024/04/1232648/pemain-perr-pahang-dapat-imbuhan-juara-lepas-aidilfitri
Pages: [1]
View full version: Pemain PERR Pahang dapat imbuhan juara lepas Aidilfitri


ADVERTISEMENT