mattzzx Publish time 7-4-2024 04:10 PM

'Jangan jadikan negeri orang sebagai tempat pembuangan sampah' - Adun

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm289adun_1712472134.jpg
MUSTAPA Long (kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan untuk 11 asraf di masjid Kampung Kechau Tui. FOTO Roselan Ab Malek

Lipis: "Jangan jadikan negeri orang sebagai tempat pembuangan sampah. Kita manusia yang bertamadun bukannya haiwan yang tak boleh berfikir, jadi gunakan akal sebagai manusia waras dan matang," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku Datuk Mustapa Long.

Menurutnya, beliau kecewa dengan masalah sampah sarap di bahu jalan di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Merapoh-Gua Musang di sini, yang berterusan berlaku terutama ketika musim perayaan walaupun sudah banyak kali diperkatakan di media sosial.

"Saya merayu pengguna jalan raya tingkatkan kesedaran agama dan sikap supaya isu sama tidak berulang. Sampai bila pengguna LTU Merapoh-Gua Musang nak terus dengan minda kelas ketiga.

"Setiap kenderaan perlu bawa plastik sampah masing-masing. Masukkan sampah dalam plastik dan bila sampai destinasi buang sampah terbabit, bukan sukar pun," katanya.


Sementara itu, beliau berkata bahawa cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau sikap pengguna jalan raya yang membuang sampah sesuka hati di LTU tidak praktikal.

Menurutnya, ia mengambil kira kes kecurian yang banyak berlaku termasuk membabitkan kabel elektrik di kawasan itu, selain didorong faktor kos yang tinggi.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai keadaan sampah sarap bertaburan di sepanjang laluan di LTU Merapoh-Gua Musang, dengan ketiadaan kemudahan hentian Rehat dan Rawat (R&R) dikatakan menjadi alasan utama.

Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui isu terbabit perlu ditangani, namun memaklumkan kerajaan negeri belum berhasrat mengenakan sebarang tindakan kepada pengguna jalan raya yang membuang sampah sesuka hati di LTU Merapoh-Gua Musang itu,

"Mengenakan tindakan disifatkan tidak adil kerana pihak kerajaan tidak menyediakan kemudahan sepatutnya termasuk R&R.

"Kalau kita sediakan kemudahan (R&R) dan mereka tidak patuh, maka boleh kita kenakan tindakan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sudah membawa isu berkaitan pembuangan sampah di tepi bahu jalan laluan LTU kepada pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

"Tindakan tertentu harus diambil sementara menunggu kawasan hentian Rehat dan Rawat (R&R) siap dibina yang akan mengambil sedikit masa.

"Mungkin ada usaha dalam jangka masa pendek untuk menyelesaikan masalah ini termasuk kita akan minta pihak berkaitan untuk pantau perkara itu supaya boleh membantu perkara yang perlu," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1078162/jangan-jadikan-negeri-orang-sebagai-tempat-pembuangan-sampah-adun
Pages: [1]
View full version: 'Jangan jadikan negeri orang sebagai tempat pembuangan sampah' - Adun


ADVERTISEMENT