mattzzx Publish time 7-4-2024 02:38 PM

Lelaki disyaki rosakkan patung berhala ditahan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/gari_1712466857.jpg
GAMBAR hiasan

Manjung: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes merosakkan patung berhala di sebuah tokong di Kampung Koh, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada 1.30 tengah hari.

Menurutnya, pengadu berusia 56 tahun membuat laporan selepas menerima rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki merosakkan peralatan tokong.

"Anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya mengesan dan bertindak menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di Taiping, pada 9.30 malam tadi.


"Polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk merakam video terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

"Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

"Polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sentimen isu 3R (raja, agama dan kaum) sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan sekali gus boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 41 saat di aplikasi X memaparkan seorang lelaki merakam perlakuannya merosakkan patung berhala di tokong dengan menggunakan kaki.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1078113/lelaki-disyaki-rosakkan-patung-berhala-ditahan
Pages: [1]
View full version: Lelaki disyaki rosakkan patung berhala ditahan


ADVERTISEMENT