mattzzx Publish time 7-4-2024 01:57 PM

De Bruyne kembali menyinar

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/SOCCER-ENGLAND-CRY-MCI_REPORT_1712468609.jpg
Kevin De Bruyne meledak dua gol untuk City. -FOTO Reuters

London: Menonton persembahan cemerlang Kevin De Bruyne ketika Manchester City membelasah Crystal Palace malam tadi, sukar untuk mempercayai dia terlepas lima bulan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana memulihkan diri daripada pembedahan hamstring.

Pemain tengah Belgium itu meledak dua gol dan mengumpan satu lagi kepada Erling Haaland di Selhurst Park dan persembahan hebatnya tepat pada masanya buat City ketika mereka membida untuk menjuarai EPL kali keempat berturut-turut selain masih terbabit dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara.

"Ia satu musim yang tidak seperti kebiasaannya dengan kecederaan dan kembali semula," kata De Bruyne kepada TNT Sports.

"Kadang-kadang saya berasa bagus, kadang-kadang saya rasa badan saya tidak bertindak baik. Saya cuba sedaya upaya untuk mempersiapkan diri. Saya cuba melakukan tugas sebaik mungkin dan hari ini saya bertindak baik."


Gol pertama De Bruyne satu rembatan lencong ke penjuru gol pada minit ke-13 yang membuatkan pengurus Pep Guardiola melontarkan ciuman kepadanya dan dia melengkapkan gol kedua pada minit ke-70 dengan gol ke-100 bersama City.

"Pada babak pertama kami melakukan kesilapan tetapi kami melakukan kebangkitan dan Kevin De Bruyne memenangkan kami dengan tindakannya, umpanannya, golnya dan segala-galanya. Kami menang perlawanan bersamanya," kata Guardiola kepada TNT.

"Saya tidak tahu (De Bruyne) seronok menjaringkan gol lebih berbanding umpanan gol tetapi saya terus menyatakan kepadanya kami perlu menang perlawanan. Dia sudah banyak memenangkan perlawanan buat kami, tidak ragu-ragu lagi."

Hanya pemain Chelsea, Cole Palmer (17) dan pemain Liverpool, Darwin Nunez (15) terbabit dalam banyak gol bagi semua pertandingan pada 2024 berbanding De Bruyne yang menyumbat tiga gol dan 11 umpanan gol.

Phil Foden muncul wira apabila menjaringkan hatrik ketika menang 4-1 ke atas Aston Villa Rabu lalu yang mana kedua-dua De Bruyne dan Haaland direhatkan.

Foden disenaraikan di bangku simpanan malam tadi dan De Bruyne mengakui dia berasa tertekan.

City tidak banyak masa untuk berehat apabila mereka bertandang ke Real Madrid bagi aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/04/1078129/de-bruyne-kembali-menyinar
Pages: [1]
View full version: De Bruyne kembali menyinar


ADVERTISEMENT