mattzzx Publish time 6-4-2024 05:12 PM

Kerajaan diminta cari penyelesaian jangka panjang isu harga padi, beras

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/04/WhatsApp-Image-2024-04-06-at-15.05.56-1.jpeg
Mahfuz (tiga dari kiri) di gerai jualan daging tempatan sempena Jualan Agro Madani Mega Raya anjuran LPP di Dataran Jalan Istana Lama, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu harga padi dan beras untuk jangka masa panjang bagi mengelakkan pihak tertentu termasuk pengilang mengambil kesempatan dengan memanipulasi bekalan tersebut.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, agensi itu menerusi Majlis Penasihat Peladang (MPP) mencadangkan agar harga lantai padi dan benih padi dinaikkan selain menetapkan harga siling bagi beras putih import (BPI).

“Kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) buat keputusan harga beras import itu dikurangkan antara RM2 hingga RM3, namun bagi saya ia tidak menyelesaikan isu itu untuk jangka panjang.

“Saya percaya ia hanya untuk jangka pendek dalam tiga, empat bulan ini sahaja. Jadi saya berharap kerajaan dapat segerakan penyelesaian dan kita telah membuat satu resolusi dengan ia sudah diangkat kepada pihak menteri untuk melihat masalah ini,” katanya pada sidang akhbar Jualan Agro Madani Mega Raya, di sini hari ini.

Beliau berkata, isu yang berlaku adalah perlumbaan kilang-kilang yang mahu membeli padi dengan melakukan persaingan harga.

“Mereka lawan harga daripada RM1,350 per tan boleh sampai RM1,900 per tan dan akhirnya mereka tak boleh beroperasi iaitu nak proses beras putih tempatan sebab beli mahal. Nak jual pada harga RM26 sudah tak boleh sebab dah makan modal.

“Jadi akhirnya ada orang kata mereka simpan dan akhirnya buat beras import. Justeru, kita mencadangkan supaya harga lantai padi mesti dinaikkan untuk melindungi petani. Kilang tak boleh beli bawah daripada harga tersebut,” ujarnya.

Menurut beliau, petani pada masa sama juga perlu bersedia menerima kenaikan harga benih padi.

“Apabila mereka nak harga belian padi itu tinggi, harga benih juga mesti tinggi. Kalau tidak nanti orang tak mahu buat padi benih,” jelasnya.

Selain itu, katanya, pihaknya juga mencadangkan kepada kerajaan supaya menetapkan harga siling kepada beras import.

“Bila tak ada harga siling, ia akan menyebabkan pengilang-pengilang memanipulasi bekalan. Mereka salin beras tempatan untuk buat beras import,” katanya.

Tambahnya, kerajaan diminta mempertimbangkan isu harga benih padi sebelum proses penanaman padi yang akan bermula dalam tempoh seminggu dua atau selepas raya ini, manakala bagi isu harga padi, ia mesti diputuskan sebelum proses menuai bermula. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04/06/kerajaan-diminta-cari-penyelesaian-jangka-panjang-isu-harga-padi-beras/
Pages: [1]
View full version: Kerajaan diminta cari penyelesaian jangka panjang isu harga padi, beras


ADVERTISEMENT