mattzzx Publish time 6-4-2024 04:16 PM

Lapan cedera, MPV rempuh backhoe

https://assets.bharian.com.my/images/articles/siden6_1712390529.jpg
Anggota bomba mengeluarkan seorang pemandu lelaki yang tersepit akibat kemalangan membabitkan MPV Toyota Vellfire dengan backhoe di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, dekat Ladang Arcadia, di sini, hari ini. - Foto ihsan bomba

MANJUNG: Tujuh sekeluarga cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh jentera backhoe di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, dekat Ladang Arcadia, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu jam 7 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu lelaki backhoe berusia 63 tahun dalam perjalanan dari Kayan ke arah Sitiawan.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah MPV jenis Toyota Vellfire dipandu lelaki berusia 40 tahun dari arah belakang dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar bahagian belakang backhoe berkenaan secara mengejut.


"Penumpang MPV terdiri isteri pemandu berusia 40 tahun, empat anak perempuan berusia 6 hingga 14 tahun dan seorang anak lelaki berusia 4 tahun.

"Akibat rempuhan itu, semua tujuh individu di dalam MPV terbabit dan pemandu backhoe cedera. Semua mereka dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan bertindak membantu mengeluarkan seorang lelaki yang didapati tersepit di tempat duduk pemandu Vellfire berkenaan.

"Operasi menyelamat membabitkan 12 anggota bomba itu ditamatkan jam 7.50 pagi," katanya.

Terdahulu, beberapa gambar dan video berhubung kemalangan berkenaan tular di media sosial menunjukkan beberapa kanak-kanak dipercayai penumpang MPV terbaring dalam keadaan berdarah di tepi jalan akibat perlanggaran itu.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/04/1232328/lapan-cedera-mpv-rempuh-backhoe
Pages: [1]
View full version: Lapan cedera, MPV rempuh backhoe


ADVERTISEMENT